Jenayah

Dituduh bunuh kenalan Facebook

dituduh bunuh kenalan facebook

Petaling Jaya: Seorang penyelenggara tapak binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh rakan kenalan Facebook berusia 15 tahun, sebelum membuang mayat mangsa di tepi jalan berhampiran Bandar Putra Klang, minggu lalu.

Poon Wai Hong (gambar), 23, yang berasal dari Sungai Way, Subang, dituduh membunuh Ng Yuk Tim, 15, di sebuah rumah di Jalan PJU 1/4F, Kampung Cempaka, Kelana Jaya, antara jam 3 petang hingga 4 petang, 21 Oktober lalu.

6 Disember sebutan kes

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang hadir dengan memakai baju T putih dan seluar kuning, sebaik tuduhan dikemukakan di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan kes.

Ketika prosiding semalam, ahli keluarga mangsa yang hadir seawal jam 8.30 pagi, dilihat turut berada di galeri awam untuk mendengar tuduhan dibacakan terhadap Wai Hong.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala peguam Datuk Suraj Singh mewakili tertuduh dan Datuk RS Sodhi bertindak selaku peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Laporan kejadian

Pada 23 Oktober lalu, BH melaporkan mangsa keluar dari rumah keluarganya di Desa Tun Razak, Cheras, jam 11 pagi, selepas memberitahu ibunya, Sim Ee Ling, 35, yang dia mahu bertemu teman lelaki yang dikenali menerusi Facebook.

Mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya, sebelum mayatnya ditemui dibunuh dengan dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang di tepi Jalan Kebun Nanas 1A/KS7.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");