Sukan Hari Ini

Firasat Subahan

rimau training

Pemain Malaysia menjalani sesi latihan ringan di Stadium Shah Alam, semalam:-

“KITA akan menang”, demikian kata-kata pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal menjelang perlawanan kelima Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Stadium Shah Alam malam ini.

Subahan berkata, bukan niatnya untuk terlalu yakin tetapi firasat hati beliau merasakan skuad negara mampu meraih kemenangan ke atas Qatar.

“Saya seorang yang optimistik. Saya juga tahu lawan dengan negara Arab bukan perkara mudah kerana mereka memiliki larian yang laju. Tapi itu bukan alasan untuk kita mudah menyerah kalah.

“Lagipun saya yakin kita mampu dapatkan tiga mata dalam perlawanan esok (malam ini). Jangan tanya kenapa saya terlalu yakin dan saya juga tahu ramai yang pelik kenapa saya yakin kita akan menang.

“Apa yang boleh saya cakap naluri dan firasat saya kata kita akan menang dan dapat tiga mata. Insya-ALLAH, melihat kepada keazaman dan keyakinan pemain juga kita mampu melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia nanti,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas sidang media pengurus pasukan di Wisma FAM, semalam.

Skuad negara kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, jauh ketinggalan di belakang Bahrain yang semakin pasti layak ke Australia selepas memungut 10 mata sementara Qatar, sembilan mata.

Perlawanan berdepan Qatar di Stadium Shah Alam malam ini ternyata wajib dimenangi oleh anak buah Datuk K Rajagobal sekiranya masih berkeinginan memburu tempat secara automatik selaku dua pasukan teratas atau berada di kalangan pasukan ketiga terbaik dari lima kumpulan.

Ini kerana jika sekadar seri atau kalah, Harimau Malaya boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Piala Asia 2015.

Menurut Subahan, tiada istilah menyerah kalah buat pemain Harimau Malaya yang masih yakin untuk menewaskan Qatar dalam aksi penentu perlawanan kelayakan Piala Asia.

Katanya, selagi peluang belum tertutup sepenuhnya, Rajagobal dan skuad kebangsaan kendaliannya akan terus berjuang untuk memastikan misi layak ke Piala Asia 2015 tercapai.

Malah, empat mata yang di kumpul selepas empat perlawanan dalam saingan Kumpulan D menjadi bekalan buat mereka untuk terus meniup semangat kepada pemain dan mencetus harapan buat rakyat Malaysia.

“Saya tahu banyak kritikan dilemparkan kepada kita, ramai yang menganggap peluang kita sudah tertutup.
Tapi bagi saya tidak.

“Saya berani cakap kita akan menang esok. Saya yakin bukan kerana melihat kesungguhan pemain dan terlalu over confident tapi nawaitu yang betul dan Insya-ALLAH apa yang dirasakan saya akan menjadi kenyataan,” katanya yang menagih sokongan peminat Malaysia agar membanjiri stadium meskipun perlawanan diadakan pada hari bekerja.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");