Sukan Hari Ini

Hai-O dan Norfazly milik siapa?

haio

SEKEJAP setuju tetapi bila tiba masanya lain jawapan diberikan, itulah senario terkini perpindahan di kalangan pemain menjelang saingan musim 2014.

Adakah keputusan yang dibuat dipengaruhi tawaran lumayan, kepuasan mahupun cabaran baru.

Ternyata perubahan saat akhir pastinya mengundang keresahan pihak pengurusan yang telah membuat perancangan rapi untuk membentuk pasukan mantap.

KENA TEMPIAS

Juara Treble 2012, Kelantan antara pasukan yang menerima tempias penghijrahan beberapa tonggak utama selain Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor nyata mengejutkan peminat setia Pahlawan Merah dan Merah Kuning.

Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin, Daud Su Jamaludin, S Subramaniam dan Shakir Shaari antara pemain The Red Warriors (TRW) yang dikhabarkan pasti menyarung jersi lain musim depan.

Kem Merah Kuning pula, Asarudin Putra Omar, Mahali Jasuli dan Norazlan Razali turut dikatakan bakal berhijrah ke pasukan lain.

Selain itu beberapa pasukan lain turut tidak terkecuali menerima tempias bahang perpindahan namun bukanlah ketara.

RELA LEPASKAN

Penjaring tunggal Piala FA 2012, Norfarhan yang pada awalnya sudah bersetuju bersama Harimau Selatan, membuat pusingan U dengan memohon supaya dilepaskan.

Perkara ini disahkan melalui kenyataan media Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), yang melepaskan Norfarhan kerana masalah peribadi dan keluarga.

“Pemain itu secara rasmi memohon untuk tidak bersama skuad itu musim depan dan polisi PBNJ lebih menumpukan kepada pemain yang benar-benar mahu berbakti kepada skuad Harimau Selatan.

“Oleh itu, PBNJ tidak akan menyekat kemahuan pemain itu dan berharap dia berjaya dengan pasukan baru pilihannya,” jelas kenyataan tersebut.

TARIK TALI

Namun lain pula situasinya apabila beberapa nama besar dalam bola sepak tempatan turut dikaitkan dengan isu perlanggaran kontrak dengan pasukan lama dan baru.

Ketua Pasukan The Gladiators, Hairuddin Omar dan pemain pertahanan, Norfazly Alias tidak terlepas dalam isu ini apabila kedua pemain berkenaan dikhabarkan telah menandatangani Borang C032 untuk bersama Felda United.

Namun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan kedua pemain berkenaan masih milik mereka dan akan terus berbakti musim depan hingga menimbulkan sedikit kekeliruan hingga memaksa jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim mengeluarkan kenyataan ingin membawa perkara tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari jalan penyelesaian.

KIRA SAH

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan Borang C032 merupakan borang kontrak perjanjian sementara pemain tersebut dengan pasukan baru yang bakal diwakili yang perlu dimeterai tiga bulan sebelum kontrak bersama pasukan lama berakhir.

“Mana-mana pemain boleh membuat rundingan termasuklah tawaran gaji serta kemudahan lain dan perlulah menandatangani Borang C032 dengan persetujuan bersama.

“Tindakan ini perlu memandangkan seorang pemain tidak boleh menandatangani dua kontrak dalam satu masa, jadi selepas kontrak sebenar pemain tersebut tamat barulah pemain tersebut boleh mempersetujui perjanjian baru.

“Seandainya pemain tersebut telah menurunkan tandatangan dalam Borang C032 dan membuat pusingan balik (U-turn) kepada pasukan lama ia didapati bersalah namun jika pasukan baru yang bakal disertai bersetuju tindakan pemain tersebut ia bukan satu kesalahan lagi,” katanya.

SAMA RATA

Walau apa pun yang berlaku, situasi ini perlu diselesaikan secara berhemah demi kepentingan bersama kerana peminat mahu menyaksikan musim 2014 penuh dengan aksi berkualiti dipamerkan pemain.

Tiada guna hanya memiliki jasad pemain itu kerana semangat dan fikiran berada di tempat lain, jika ia berlaku pastinya merugikan pasukan.

Tidak salah berhijrah mengikut peraturan ditetapkan kerana semua orang punyai pandangan masing-masing, jadi buat pemain yang berhijrah buktikan tindakan anda tepat dan bukanlah dipengaruhi anasir lain.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");