Berita Hari Ini

Ibu bapa perlu awasi anak

KANAK-KANAK

DUNGUN– Ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi anak dan tidak membiarkan mereka bermain di kawasan berhampiran sungai atau longkang besar bagi mengelakkan kejadian lemas berulang pada musim tengkujuh.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kanak-kanak biasanya gemar bermain air dan keadaan arus deras pada musim tengkujuh boleh membahayakan mereka.

Merujuk kes lemas pada tahun sebelum ini, menurutnya, kebanyakan tragedi meragut nyawa mangsa lemas berpunca daripada kecuaian, sedangkan kejadian itu boleh dielak jika semua pihak mengutamakan langkah keselamatan.

“Kita berhasrat mewujudkan sifar kemalangan pada musim tengkujuh agar tiada nyawa terkorban.

“Bagaimanapun, ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa agar kejadian sama tidak berulang,” katanya selepas merasmikan program solat hajat di Masjid Kuala Jengai, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Pada musim tengkujuh tahun lalu, lebih 300 penduduk di Kuala Jengai terpaksa dipindahkan apabila air Sungai Dungun naik melebihi paras bahaya sehingga menenggelamkan hampir keseluruhan penempatan penduduk.

Dalam kejadian itu, seramai lapan keluarga di berek Balai Polis Kuala Jengai tinggal sehelai sepinggang, selain kerugian mencecah ribuan ringgit apabila kediaman mereka ditenggelami air.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan biarpun sebahagian besar penduduk mengalami kerugian akibat banjir disifatkan terburuk sejak lebih lima tahun lalu.

Sementara itu, penduduk, Zahrah Ismail, 49, berkata, kejadian banjir merupakan fenomena biasa bagi penduduk di Hulu Dungun dan mereka biasanya akan membuat persediaan awal untuk menghadapi bencana alam tersebut.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");