Sukan Hari Ini

Isu tiket: FAM perlu cari jalan

khairy jamaluddin 2

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran agar memikirkan kaedah lain termasuk penjualan tiket secara dalam talian (online) khususnya melibatkan perlawanan akhir.

Langkah itu bagi memastikan penjualan tiket lebih efisien sekali gus mengelak insiden tidak diingini di kaunter tiket.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mengelak kesesakan dan pelbagai masalah lain, tetapi juga seiring dengan perkembangan teknologi yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya badan induk bola sepak negara itu.

Menurutnya, kaedah itu dilihat mampu menangani isu tiket habis setiap kali menjelang perlawanan akhir dalam satu-satu perlawanan yang melibatkan aksi kempen Liga Malaysia.

“Saya yakin kaedah sebegini pasti disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan, sekali gus mampu mengelakkan kesesakan ketika penjualan tiket di venue perlawanan.

“Sudah sampai masanya, kita menggunakan mekanisme seumpama ini untuk memastikan sukan bola sepak negara terus berkembang khususnya melibatkan hal-hal berkaitan penjualan tiket,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang dilaporkan habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas mengadakan lawatan di tapak pembinaan padang bola sepak sintetik di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Difahamkan FAM telah menyediakan sebanyak 75,000 keping untuk peminat menyaksikan pertembungan juara bertahan Kelantan dan Pahang pada aksi final Piala Malaysia Ahad ini.

Daripada jumlah itu, 30,000 diperuntukkan kepada persatuan bola sepak negeri masing-masing, manakala baki akan dijual di venue perlawanan di Stadium Shah Alam.

Mengulas pembelian tiket secara pukal, Khairy menegaskan perkara itu tidak boleh dilarang namun FAM perlu menguruskannya dengan lebih baik bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");