Perak Hari Ini

Jadikan Peristiwa Maal Hijrah Untuk Ubah Diri, Bebas Pemikiran Lapuk

PERAK TODAY 10

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, peristiwa Maal Hijrah mengajak umat Islam melakukan perubahan dalam diri kerana ianya bersifat semasa dan mampu melepaskan insan daripada belenggu pemikiran lapuk.

Titah baginda, peristiwa itu juga wajar dijadikan sebagai pedoman hidup supaya azam untuk memperbaiki diri secara istiqamah mampu dilaksanakan secara berterusan.

“Peristiwa hijrah memperlihatkan contoh betapa pentingnya dilakukan anjakan pemikiran dan menerokai idea baru dalam mencipta kejayaan lebih gemilang.

“Sesungguhnya dalam peristiwa hijrah itu, Rasulullah SAW telah mempamerkan satu contoh pemikiran lateral, anjakan paradigma yang mampu menampakkan momentum perubahan yang dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435H Peringkat Negeri yang diadakan di Masjid Daerah Batu Gajah, dekat Batu Gajah, hari ini.

Turut berangkat mencemar duli Raja Dihilir Perak, Raja Jaffar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda, Raja Normahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan barisan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, baginda juga bertitah usaha penghijrahan perlu dilakukan secara berterusan dan tidak seharusnya terbatas apabila ketibaan Maal Hijrah yang disambut pada setiap tahun.

Titah Raja Nazrin lagi, melakukan hijrah mahupun perubahan terhadap di sendiri antara seruan Ilahi seperti yang difirmankan dalam Surah Al-Baqarah ayat 218.

“Seseorang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah itu mengharapkan pengampunan Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

“Hijrah merupakan budaya yang wajib disemai dalam diri setiap insan dengan melakukan pemeriksaan dalaman, mengukur ketegasan tindakan yang dilakukan dalam tempoh setahun serta sentiasa mempunyai semangat untuk melakukan penambahbaikan,” titah baginda lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");