Berita Hari Ini

Jepun antara penyumbang tertinggi projek Selangor

JEPUN

SHAH ALAM – Tujuh negara iaitu Jepun, Amerika Syarikat, Singapura, Jerman, Korea, China dan United Kingdom menyumbangkan peluang pekerjaan dan pelaburan tertinggi di Selangor.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, Jepun mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM11.958 bilion melalui penjanaan 424 projek dengan membuka peluang pekerjaan sebanyak 31,809.

“Manakala Amerika Syarikat merupakan negara kedua yang menyumbang pelaburan sejumlah RM 10.267 bilion menerusi 96 projek sekali gus menjana 24,594 peluang pekerjaan.

“Ini diikuti Singapura sebanyak RM6.604 bilion, Jerman (RM6.604 bilion), Korea (RM1.982 bilion), China (RM1.754 bilion) dan United Kingdom (RM1.589 bilion),” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dalam Sidang Dun Selangor, semalam.

Sementara itu, Elizabeth turut memaklumkan faktor-faktor utama yang menyebabkan Selangor terus dipilih sebagai destinasi pelaburan oleh pelabur domestik dan luar adalah kerana polisi dan kestabilan politik, insentif pelaburan yang menarik daripada kerajaan Persekutuan, dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur dan kedudukan Selangor yang strategik dan berdekatan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan pintu masuk utama.

“Selain itu, dilengkapi kemudahan asas yang lengkap serta jalinan hubungan jalan raya yang terbaik, kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang untuk import dan eksport.

“Malahan, kemudahan pendidikan dan perubatan untuk pelabur asing, tempat rekreasi seperti kelab golf dan pusat beli belah bertaraf dunia, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas memudahkan pelabur berkomunikasi dengan pekerja tempatan, hak perlindungan harta intelek dan penawaran buruh berkemahiran,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau menjelaskan secara dasarnya kerajaan negeri tidak menawarkan sebarang insentif berbentuk kewangan.

“Tetapi kerajaan Selangor menyediakan agensi khusus untuk membantu para pelabur dari mula proses mengenal pasti tapak, menyelaras permohonan-permohonan kelulusan pembangunan serta membantu para pelabur menyelesaikan masalah yang dihadapi sama ada melibatkan Kerajaan Negeri mahu pun kerajaan Persekutuan,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");