Membawang Hari Ini

Jom nyanyi & menari bersama Hi-5

hi 5

Nama Hi-5 memang tidak asing dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang gemar dengan persembahan lagu, tarian, kraf tangan dan boneka mereka yang boleh disaksikan menerusi siaran televisyen tempatan.

Buat kali pertama, peminat kumpulan muzikal pop kanak-kanak Australia di negara ini berpeluang menyanyi dan menari bersama mereka di konsert Hi-5 House Party yang akan berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) pada 27 Disember depan.

Konsert ini akan menampilkan dua anggota baru yang menyertai Hi-5 awal tahun ini iaitu Ainsley Melham (Ains) dan Mary Lascaris (Mare-Bear) serta anggota lama Stevie Nicholson (Stavros), Lauren Brant (Lolly) dan Dayen Zheng.

Dengan kerjasama Dumex Mamil All ‘n One, Hi-5 dijemput untuk membantu mendidik kanak-kanak di negara ini mengenai kepentingan pemakanan sihat menggunakan kaedah yang lebih menarik dan menyeronokkan.

Hi-5 adalah program siri televisyen popular yang membantu pertumbuhan kanak-kanak dari semua aspek merangkumi pemahaman sosial, emosi, fizikal, kreativiti dan pada masa sama menggalakkan si cilik meningkatkan potensi diri sendiri.

Pemilihan dua ahli baru pada Januari lalu ditunjukkan dalam filem pertama berjudul Hi-5: Some Kind of Wonderful yang disiarkan pada Mac lalu di Australia dan New Zealand.

Menurut Stevie, kumpulan itu akan menghiburkan kanak-kanak dengan 16 lagu di konsert bulan depan termasuk persembahan boneka dan permainan.

“Kami juga akan menyanyikan beberapa lagu baru yang belum didengar oleh peminat di Malaysia.

“Ini kali pertama kami membuat persembahan di negara ini dan sudah tidak sabar bertemu dengan peminat,” katanya.

Katanya, kumpulan itu banyak membuat persembahan di luar negara dan kagum melihat kanak-kanak seawal usia setahun lebih pandai mengingati rentak tarian lagu.

“Hi-5 adalah program pendidikan yang membantu dalam tumbesaran kanak-kanak di mana mereka boleh aktif dan ber-gembira mengikut persembahan,” katanya.

Menurutnya, syarat utama setiap ahli adalah mereka perlu memiliki sifat menyayangi kanak-kanak selain pandai berlakon dan menyanyi.

“Ketika menyertai kumpulan ini, setiap ahli perlu menjalani beberapa latihan, menghadiri kelas koreografi dan mendapat mendapat bimbingan dari pakar kanak-kanak,” katanya.

Berkenaan kerjasama kumpulan itu dengan Dumex Mamil All ‘n One, Stevie berkata, kempen itu memanfaatkan masyarakat kerana menyebarkan mesej penting mengenai nutrisi yang diperlukan untuk pertumbuhan kanak-kanak.

“Sebagai idola kepada peminat kanak-kanak dan remaja di Malaysia,kami memandang berat pentingnya mengajar si kecil tentang tabiat pemakanan yang betul.

“Kami juga perlu mengamalkan budaya sihat setiap hari termasuk rehat mencukupi kerana banyak membuat persembahan di luar,” katanya.

Program Hi-5 dicipta oleh Helena Harris dan Graeme Posie-Evans pada 1998 yang menyelitkan kaedah pendidikan terkini seperti permainan, seni, muzik dan gerakan menarik untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Musim pertama rancangan itu terdiri daripada ahli asal kumpulan Hi-5 iaitu Kellie Crawford, Nathan Foley, Charli Robinson, Tim Harding dan Kathleen de Leon Jones.

Bagaimanapun, ahli kumpulan itu terpaksa bertukar beberapa kali atas faktor peribadi termasuk mahu berumah tangga, ditawarkan sebagai pelakon, pengacara televisyen dan menyanyi.

Sejak ditubuhkan, Hi-5 mengeluarkan sebanyak 18 album dengan yang pertama pada 1999 berjudul Jump and Jive with Hi-5 dan yang terakhir pada 2011 dengan tajuk Sing it Loud!.

Sehingga kini, program itu sudah menyiarkan sebanyak 13 musim membabitkan 570 episod dengan yang terbaru bakal diterbitkan iaitu Hi-5 House yang dijangka disiarkan tahun depan.

Program itu kini disiarkan di 80 negara dan kumpulan Hi-5 mempunyai peminat di seluruh dunia antaranya di Asia, United Kingdom, Amerika Latin, New Zealand dan Kanada.

Sambutan memberangsangkan kumpulan Hi-5 dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa berjaya memenangi lima anugerah ARIA bagi kategori Album Kanak-kanak Terbaik berturut-turut dari tahun 2000 hingga 2004.

Mereka juga menerima tiga anugerah menerusi Australian Logie Awards untuk Program Kanak-Kanak Pra-Sekolah Paling Menonjol pada 2000, 2001 dan 2004.

Sementara itu, peminat pemenang peraduan Kempen Give Me 5, Dumex Mamil All ‘n One berpeluang memenangi tiket percuma ke konsert Hi-5.

Selain itu, melalui pencarian bakar di seluruh negara, lima kanak-kanak bertuah berpeluang mempersembahkan lagu hit baru berjudul 5 Food Groups bersama Hi-5 di pentas.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");