Perak Hari Ini

Kegiatan Nelayan Pukat Sorong Terus Dipantau

saarani

Kawasan perairan Kuala Gula dan Kuala Sepetang di Daerah Larut Matang dikenalpasti antara beberapa lokasi penyalagunaan pukat sorong atau juga dikenali pukat rawa yang dilarang penggunaannya di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan), penggunaan pukat itu telah menimbulkan perbalahan antara nelayan pukat sorong dengan nelayan lain.

Selain itu, pukat tersebut juga katanya, boleh mendatangkan kemusnahan kepada sumber ikan di negeri Perak.

“Penggunaan pukat sorong dikesan di perairan Daerah Kerian, Larut Matang, Manjung Utara dan Hilir Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Zabri Abd Wahid (BN-Trong) pada persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh, hari ini.

Saarani berkata, pemantauan terkini mendapati jumlah pukat sorong beroperasi sama ada menggunakan vessel dan peralatan berlesen atau tidak berlesen adalah berjumlah 375 buah.

Katanya lagi, peralatan tersebut tidak pernah dilesenkan oleh Jabatan Perikanan yang mengambil kira kepentingan pemantuhan kepada Akta Perikanan 1985, Instrument Antarabangsa FAO-Code Of Conduct for Responsible Fisheries (CCRF).

“Jabatan itu juga telah menarik balik Surat Penangguhan Penguatkuasaan ke atas pukat sorong pada 8 Jun 2011 yang lalu,” katanya.

“Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Perikanan Malaysia supaya tidak melesenkan pukat sorong sejak Ogos 2011,” tambahnya lagi.

Lanjutan arahan itu jelasnya, Jabatan Perikanan negeri telah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap operasi pukat sorong di seluruh perairan Perak terutamanya di kawasan Kuala Gula, Selinsing, Kuala Sanga, Kuala Sepetang dan Bagan Datoh.

“Sepanjang tahun 2013, sebanyak 12 kes ‘jumpa pukat’ dan empat kes tangkapan telah dibuat oleh Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Perak di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya.

Ujarnya, selain Kuala Gula dan Kuala Sepetang, lokasi panas lain yang dikenalpasti ialah Matang, Pasir Hitam dan Bagan Pancur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");