Berita Hari Ini

Kepimpinan Politik Beriltizam Dorong Kejayaan Felda – PM

pm

KUALA LUMPUR: Pembangunan tanah oleh Felda sehingga diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia bukanlah pencapaian yang mudah tanpa kepimpinan politik yang beriltizam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kejayaan yang dicapai oleh Felda itu bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya ia memerlukan kepimpian politik yang beriltizam,” kata perdana menteri.

Usaha negara luar untuk meniru konsep pembangunan dan reformasi tanah yang dilakukan oleh Felda tidak pernah berjaya, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku bergambar ‘Meneroka Impian Mencapai Wawasan’ di sini, Isnin.

Buku itu dilancarkan oleh ibu perdana menteri Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah.

“Negara luar nak tiru konsep Felda tapi tak berjaya. Hantarlah orang Felda ke sana (negara luar) pun tak jadi juga,” katanya.

Menurut perdana menteri keupayaan membangunkan tanah-tanah peneroka dengan baik sejak lebih 56 tahun itu merupakan satu daripada lima kejayaan membanggakan Felda sehingga kini.

Beliau berkata kejayaan lain Felda yang boleh dibanggakan termasuk kemampuannya menangani kemiskinan terutama penduduk di luar bandar.

Katanya sehingga kini seramai 112,000 orang peneroka Felda telah berjaya dbawa keluar daripada garis kemiskinan.

“Pada awal kewujudannya…kemiskinan dalam kalangan peneroka adalah 70 peratus tapi sekarang empat peratus.

“Kalau orang kata orang Felda miskin…orang dah tak percaya. Peneroka Felda dah tak ada rupa orang miskin sekarang,” kata Najib.

Perdana menteri turut menyifatkan kewujudan pusat pertumbuhan baharu di luar bandar sebagai kejayaan ketiga Felda sepanjang penubuhannya kerana ia mustahil untuk diwujudkan jika tiada kuasa pembeli.

“Keempat…kejayaan beri peluang kepada generasi kedua, sehingga hari ini ramai bekerja bukan sahaja dalam kerajaan, malah dalam sektor swasta bahkan ada yang jadi wakil rakyat”, katanya.

Mengenai kejayaan kelima Felda, Najib berkata ia terbukti menerusi transformasi yang dilakukannya daripada sebuah badan pembangunan tanah kepada badan menjana kekayaan.

“Kemuncaknya ialah bila Felda Global Venture (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada Jun lepas (2012). Tawaran awam permulaan (IPO) FGV adalah yang ketiga terbesar di dunia”, katanya.

Pada majlis itu Najib turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan perjuangan Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein serta legasinya dalam membangunkan Felda.

“Legasi 50 tahun akan datang Felda akan lebih berjaya…inilah harapan saya…wawasan kita,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");