Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Sentiasa Sokong Idea Kreatif, Inovasi Pelajar

IMG_2147

Kerajaan negeri akan memberi sokongan yang berterusan kepada golongan pelajar untuk menghasilkan kreativiti serta inovasi dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, sokongan itu perlu dalam usaha kerajaan membantu melahirkan generasi pelajar berfikiran kelas pertama sekaligus mampu bersaing pada era masa kini.

Katanya, melalui program KPerak Technology Holiday Camp yang menumpukan kepada kreativiti serta inovasi, para pelajar yang terlibat dilihat mampu menyesuaikan diri dengan teknologi terkini hingga berjaya mencipta aplikasi baru dalam memenuhi kehendak masyarakat sekeliling.

“Walaupun penganjuran program ini hanya selama dua hari, namun ia mampu menjentik minat baru di kalangan pelajar menerusi pengajaran tentang teknologi android, robotik secara praktikal serta aktiviti-aktiviti ‘hands-on’ hingga mereka berjaya menghasilkan idea-idea baru.

“Pencapaian mereka mencipta aplikasi tersebut menunjukkan para pelajar mempunyai tahap kreativiti dan inovasi yang cukup tinggi,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup KPerak Technology Holiday Camp Daerah Manjung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10, Lekir dekat Sitiawan, hari ini.

Tambah Shahrul Zaman, memandangkan objektif dan sasaran program tercapai, pihaknya bercadang supaya pihak KPerak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memperluaskan program tersebut kepada semua peringkat kawasan Parlimen Perak.

“Saya telah meminta supaya pihak KPerak bekerjasama JPN untuk memperluaskan program ini kepada semua pelajar bukan sahaja di peringkat daerah malah di seluruh 24 kawasan Parlimen Perak.

“Inisitif ini bertujuan memastikan program ini mendapat liputan menyeluruh dengan melibatkan sebanyak mungkin sekolah yang ada di negeri Perak supaya para pelajar lain dapat turut sama menyertainya,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan KPerak agar menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengadakan pertandingan kejohanan liga kreatif peringkat Parlimen dan Negeri.

“SKMM telah mengadakan liga kreatif peringkat kebangsaan dan ingin saya ingin menyarankan supaya Perak juga mengadakan kejohanan tersebut mengikut peringkat bermula dari Parlimen dan pemenangnya akan dibawa bertanding ke peringkat daerah, negeri dan seterusnya kebangsaan.

“Dengan usaha ini, kita bukan sahaja memberikan pelajar platform untuk berkreativiti serta berinovasi malah ia dapat memberi mereka peluang mengetengahkan bakat terpendam,” jelasnya.

Program anjuran KPerak dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) itu melibatkan 20 buah sekolah menengah dan rendah sekitar Manjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");