Kuantan: Polis masih belum dapat merekodkan keterangan Harun Mat Saat, yang juga ketua kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ berikutan keadaan kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata kakitangan perubatan termasuk pakar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sedang berusaha memberikan rawatan kepada Harun,47, yang dimasukkan ke hospital berkenaan, Khamis lalu akibat serangan angin ahmar.
Keterangan diambil selepas keadaan kesihatan pulih
“Setakat ini, kami belum rekod keterangan dia (Harun) dan menunggu hasil rawatan yang diberikan kepadanya. Biar HTAA rawat dulu, jika keadaan kesihatannya sudah kembali pulih, baru kita ambil keterangan.
“Buat masa ini, kami belum boleh buat apa-apa kenyataan mengenai siasatan kes ini memandangkan belum mendengar keterangan darinya. Siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada perkembangan terbaru,” katanya.
Harun dikejarkan ke HTAA jam 2.30 petang Khamis lalu selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.
Ketua ajaran sesat itu ditahan di Tangkak, Johor oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJ dari IPD Muar hasil intipan dan maklumat awam.
Selain Harun, polis turut menahan isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan seorang pengikutnya, Nor Hairi Harun, 41.
-Berita harian