Berita Hari Ini

Koperasi disaran lebih proaktif

tatm

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyarankan agar koperasi di negara ini menjalinkan kerjasama lebih luas bagi mengukuhkan lagi kedudukannya.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan sektor itu dapat mencapai indeks prestasi utama yang ditetapkan oleh Dasar Koperasi Negara 2011-2020 iaitu menyumbang 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

“Kita ingin melihat bentuk jalinan kerjasama yang lebih besar dan lebih kompleks dapat dilakukan yang mungkin melibatkan aspek penyertaan ekuiti dalam koperasi lain atau jalinan yang menjurus kepada penyatuan atau penggabungan koperasi itu sendiri.

“Dengan wujudnya sinergi ini barulah kita mempunyai kelebihan untuk bersaing di pasaran selain menjadikan kedudukan koperasi lebih mantap dan meningkatkan keupayaan menangani cabaran yang lebih besar,” katanya berucap merasmikan Karnival Kompleks Wilayah Persekutuan 2013 di sini.

Karnival selama tiga hari bermula hari ini itu dianjur oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, bertujuan mempromosi produk dan perkhidmatan koperasi kepada masyarakat khususnya di Kuala Lumpur.

Lebih 70 pempamer mengambil bahagian dalam karnival itu meliputi koperasi, usahawan koperasi serta agensi kerajaan yang berkait dengan gerakan koperasi.

Tengku Adnan berkata, beliau juga berharap gerakan koperasi di negara ini dapat melahirkan idea lebih kritis agar sektor itu dapat bersaing dengan entiti perniagaan lain yang lebih kompetitif.

Walaupun bilangan koperasi di Malaysia sudah menjangkau 10,578 buah dengan penglibatan 7.5 juta orang, Tengku Adnan berkata sektor itu masih dilihat kurang signifikan kerana hanya mampu menyumbang 0.98 peratus kepada KDNK negara.

“Saya ingin menyeru gerakan koperasi di negara ini agar bersama-sama memikirkan bagaimana untuk mengadakan kerjasama yang mantap antara koperasi-koperasi dalam bidang perniagaan serta menjalankan aktiviti ekonomi bernilai dan berimpak tinggi,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");