Sukan Hari Ini

Kudrat Chong Wei ditagih

Lee chong wei

DATUK Lee Chong Wei membalas kritikan terhadapnya apabila merangkul kejuaraan kali ketiga Siri Super Terbuka Hong Kong, semalam.

Setelah pelbagai pihak mempertikai prestasinya selepas gagal di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis baru-baru ini, kudrat pemain berusia 31 tahun itu tetap ditagih di peringkat antarabangsa.

Selepas mengambil keputusan berehat dari beraksi Super Siri Terbuka China minggu lalu, Chong Wei semakin bersedia dan kembali berada di puncak prestasinya apabila bergaya menjuarai Terbuka Hong Kong menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Namun persoalan timbul, sampai bilakah skuad badminton negara masih mengharapkan sentuhan pemain kelahiran Pulau Pinang ini sedangkan prestasi pemain lain tidak menentu.

Ketiadaan Chong Wei di Terbuka China kerana kecederaan berulang di buku lali minggu lalu membuktikan negara kemarau pemain pelapis yang mampu menggalas cabaran negara setelah Chong Wei Feng dan Liew Daren diharap menjadi pengganti.

Wei Feng tersekat di separuh akhir Terbuka China 2013 ketika bertemu pemain nombor dua dunia, Chen Long manakala Daren menarik diri dari kejohanan.

Keputusan mengecewakan dalam beberapa kejohanan menerusi Wei Feng dan Daren adalah yang sepatutnya dipersoal setelah Malaysia masih mengharapkan sentuhan pemain nombor satu dunia itu.

Bagaimanapun kejuaraan di Terbuka Hong Kong semalam jelas membuktikan kudrat Chong Wei masih ditagih meskipun usianya kini mencecah 31 tahun.

Menurut Chong Wei, beliau hanya fokus dalam setiap pertandingan dan tidak menghiraukan kritikan terhadapnya selama ini.

“Bila saya kalah, semua orang kata saya sudah tua ….. sebab itu saya kalah, tetapi bila saya menang, mereka kata Wah! ini orang tua boleh tahan dan masih boleh menang.

“Saya sudah lali dan saya tidak kisah apa yang orang lain cakap,” luah Chong Wei apabila kritikan dilemparkan kepadanya apabila tewas di Terbuka Denmark kepada Chen Long baru-baru ini.

Chong Wei turut mengakui bahawa hakikatnya hanya beliau yang boleh melakukannya ketika ini dan beliau memerlukan usaha keras untuk mengekalkan kedudukannya.

Jelas naib juara Sukan Olimpik dua kali itu lagi: “Walaupun saya kalah kepada pemain nombor dua dunia, Chen Long di final Terbuka Denmark, mereka masih berkata prestasi saya amat membimbangkan.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan negara, Datuk James Selvaraj merasakan Chong Wei tidak mampu untuk bertahan lama.

Katanya, jaguh negara itu sudah tidak boleh lagi menyertai banyak kejohanan seperti mana dilakukannya sekarang dan perlu menukar corak latihan bagi menyaingi pemain muda.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Chong Wei bukannya lagi muda dan beliau tidak mampu mengharungi banyak kejohanan lagi di atas faktor usia.

Khairy juga sebelum ini membidas Persatuan Badminton Malaysia berikutan kegagalan pemain negara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Sebelum ini, Chong Wei pernah mengumumkan untuk berehat sebulan pada Disember ini termasuk tidak mengambil bahagian pada Sukan Sea sebelum menghadapi saingan tahun depan seperti Siri Super Premier Terbuka Malaysia, Korea dan Seluruh England. Selain itu, Chong Wei turut menggalas cabaran di Piala Asia, Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel tahun depan.

Mahu ataupun tidak, Malaysia masih mengharapkan pemain veteran ini untuk menggalas tanggungjawab negara setelah kita masih belum lagi menemui pemain pelapis negara yang benar-benar mampu membawa nama Malaysia dalam sukan badminton negara.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");