Perak Hari Ini

Lintasan Pejalan Kaki Berisyarat Undang Bahaya Kepada Pengguna

PERAK TODAY 7

Keselamatan orang awam terutamanya pesakit yang berulang alik ke Klinik Kesihatan Greentown di Jalan Raja Musa Mahdi, dekat Ipoh menjadi taruhan setiap kali mereka menggunakan lintasan pejalan kaki berisyarat yang tidak lagi beroperasi dengan sempurna.

Selain itu, kenderaan yang dipandu laju juga menyebabkan pengguna terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyeberangi jalan tersebut yang sentiasa sibuk terutamanya di waktu puncak.

PERAK TODAY 1
Alisa Abdullah

“Apabila hendak melintas, saya terpaksa berhati-hati dan apabila sudah pasti tiada kenderaan, baru saya teruskan dan ada kalanya saya terpaksa berlari untuk ke seberang jalan kerana kereta bergerak terlalu laju,”.

Begitulah luahan seorang pengguna, Alisa Abdullah, 30, yang terpaksa berwaspada setiap kali menggunakan kemudahan itu memandangkan kebanyakan pemandu kereta kurang kesedaran undang-undang mengenai peranan dan fungsi kemudahan lintasan pejalan kaki tersebut.

Katanya, walaupun lampu isyarat berfungsi, dia tetap akan melihat ke kiri dan kanan jalan sebelum lintas kerana tidak mempercayai kemudahan yang disediakan itu.

PERAK TODAY 3
Daniel Teoh

Menurut Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Greentown, Daniel Teoh, aduan berhubung masalah lintasan pejalan kaki itu telah banyak diterima malah telah diutarakan kepada Majlis Bandararaya Ipoh (MBI), namun sehingga kini tiada tindakan yang sewajarnya diambil.

“Kita terima banyak aduan daripada orang awam terutamanya mereka yang mendapatkan rawatan ki klinik ini yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk melintas kerana kebanyakan pemandu kenderaan mementingkan diri sendiri dan tidak mahu berhenti walaupun adanya lampu isyarat.

“Keadaan lampu isyarat tidak berfungsi, tanda lintasan pejalan kaki yang pudar serta kedudukan papan isyarat pejalan kaki yang terlalu hampir dengan laluan tersebut menganggu keselamatan pengguna,” jelasnya kepada pemberita.


Tambah Daniel, keselamatan pejalan kaki sememangnya menjadi keutamaan kerana mereka merupakan pesakit yang sering berulang-alik mendapatkan rawatan di klinik tersebut.

“Kira-kira 1,000 pesakit menerima rawatan di klinik yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 10 malam pada setiap hari,” ujarnya lagi.

Beliau berharap pihak MBI prihatin terhadap aduan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita harap pihak tersebut mengambil langkah keselamatan terhadap pengguna dengan melakukan penyelenggaraan berkala bagi membaiki keadaan laluan pejalan kaki sedia ada.

“Bukan itu sahaja, MBI dengan kerjasama polis juga boleh melaksanakan kempen kesedaran keselamatan lalu lintas di kalangan masyarakat supaya mereka dapat menyesuaikan serta melatih diri dengan kemudahan yang disediakan,” jelasnya.

Katanya lagi, sebelum ini pihaknya hanya meminta laluan pejalan kaki namun MBI akhirnya turut meluluskan kemudahan lampu isyarat.

Tetapi, jelas Daniel lagi, keadaan lampu isyarat yang tidak berfungsi dan tiada butang hijau untuk memudahkan pejalan kaki melintas jalan menyukarkan keadaan kerana rata-rata pemandu kenderaan tidak mahu berhenti.

“Jenis lampu isyarat seperti ini tidak sesuai dan kita harap MBI akan tukar kepada jenis lain yang lebih bermanfaat.

“Kemudahan ini digunakan sejak lebih lima tahun lalu dan walaupun kami telah berbincang dengan pihak sesama jabatan, namun tiada juga tindakan diambil,” katanya dengan nada kesal.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN), Mohd Rawi Abdullah menyifatkan situasi tersebut sememangnya mengundang bahaya kepada pengguna lintasan pejalan kaki.

“Kekurangan kerja penyelenggaraan daripada pihak MBI menyebabkan keadan sebegini berlaku.

PERAK TODAY 4
Mohd Rawi Abdullah

“Saya pasti, setiap pengguna jalan raya memahami setiap papan tanda setiap kemudahan jalan raya yang telah disediakan, namun tahap kesedaran mereka terhadap fungsi tanda itu turut menjadi masalah juga,” katanya.

Tambah Mohd Rawi, kelalaian mereka terhadap papan tanda tersebut boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan lalu lintas.

“Kita berharap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi papan tanda yang disediakan boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti saman kerana ia merupakan satu kesalahan lalu-lintas.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang tersebut,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");