Berita Hari Ini

Malaysia bersedia capai Wawasan 2020

NEW YORK – Perkembangan ketara Malaysia daripada hanya Datuk Seri Abdul Wahid Omarsebuah ekonomi membangun yang baru bermula kepada Malaysia hari ini seperti disifatkan oleh sesetengah pakar AS sebagai “ekonomi sedang pesat membangun ke hadapan”, ialah satu peringatan negara telah bersedia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020, matlamat yang telah tertanam di dalam Wawasan 2020 kerajaan.

Tahap pembangunan dan kecanggihan ekonomi Malaysia hari ini turut diketengahkan oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kini berada di New York bersama-sama delegasi 14 syarikat Malaysia untuk penerangan bergerak Invest Malaysia USA (IMUS) 2013 di dalam usaha menarik para pelabur dari Amerika Syarikat ke pasaran modal Malaysia.

Abdul Wahid turut disertai oleh Datuk Tajuddin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan Datuk Abdul Farid Alias, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Group.

Maybank, bank terbesar dunia, telah menganjurkan IMUS 2013 dengan kerjasama Bursa Malaysia.

“Seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, kita telah menggariskan objektif kita untuk meningkatkan pendapatan per kapita negara daripada US6,750 kepada US$15,000 pada tahun 2020.

Pada masa ini, kita berada di sekitar US$10,000 dan telah bersedia untuk mencapai sasaran pendapatan US$15,000 menjelang tahun 2020. Ini ialah pertumbuhan pendapatan merangkumi semua yang kita cuba dapatkan,” kata Abdul Wahid dalam temu bual dengan Bernama di New York.

Abdul Wahid, antara pakar terkemuka Malaysia dan presiden dan ketua pegawai eksekutif Maybank Group sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menyokong “komitmen besar” kerajaan Malaysia untuk meningkatkan pendapatan kesemua warga Malaysia, termasuk mereka berpendapatan rendah.

“Matlamat kita ialah untuk mencapai kemampanan. Ini bermakna, kita bukan hanya merujuk kepada persekitaran mesra dan penggunaan bijak sumber asli negara seperti minyak dan gas, tetapi juga keseluruhan pengurusan ekonomi negara.

“Prinsip pedoman kita ialah memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia, dan pada masa yang sama tidak terlepas pandang akan tanggungjawab ekonomi kita untuk mengurangkan defisit dan mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020,” jelas beliau.

Abdul Wahid juga bercakap mengenai “transformasi dramatik” ekonomi Malaysia yang telah beralih daripada berasaskan pertanian menerusi pembuatan kepada ekonomi perkhidmatan.

“Sektor perkhidmatan menyumbang 55 peratus kepada ekonomi dan telah melepasi sektor pembuatan,” kata beliau.

Menjelaskan lagi sumbangan positif sektor korporat Malaysia, Abdul Wahid berkata syarikat-syarikat Malaysia hari ini lebih baik dari segi permodalan, paras hutangnya lebih rendah berbanding pada tahun 1997/98, tatkala krisis kewangan melanda beberapa negara di Asia Tenggara dan pinjamannya pula adalah dalam ringgit daripada dolar AS, sekali gus berjaya menampan daripada kemeruapan mata wang.

“Sebelum ini, saiz rizab antarabangsa ialah di antara US$19 bilion dan US$30 bilion. Hari ini, rizabnya ialah sekitar US$106 bilion,” kata beliau.

“Sementara itu, dengan pembentukan Komuniti Ekonomi Asean pada 2015, saya percaya para pemimpin Asean komited terhadap wawasan Asean. Syarikat-syarikat Malaysia berjaya beroperasi di rantau Asean dan ini secara tidak langsung akan memberikan syarikat Amerika banyak kelebihan, termasuk akses ke pasaran modal bernilai US$2 trilion,” tegas beliau.

Sementara itu, Bajet 2014, yang diumumkan pada 25 Oktober, merupakan “belanjawan paling dijangkakan di dalam sejarah Malaysia”. Bajet ini menekankan kepada kemampanan, mengukuhkan daya ketahanan ekonomi, mempercepatkan transformasi negara menjadi negara maju dan memenuhi janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya umum pada 5 Mei lepas.

Bagi menerangkan “tanggungjawab ekonomi” kerajaan, Abdul Wahid berkata defisit belanjawan tahun ini ialah pada empat peratus.

“Defisit ini akan dikurangkan secara progresif kepada 3.5 peratus pada tahun 2014 dan tiga peratus pada tahun 2015.

“Selepas itu, kita akan terus menerus mengurangkan defisit sehingga mencecah belanjawan seimbang menjelang 2020,” kata Abdul Wahid.

Untuk akaun imbangan pembayaran, Malaysia diunjurkan mempunyai lebihan RM25 bilion tahun ini. Bagaimanapun, lebihan akaun pembayaran telah menurun dan ini dikaitkan terutamanya kepada eksport yang rendah, peningkatan import, terutamanya pembelian besar-besaran seperti pesawat komersil besar oleh syarikat penerbangan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");