Sukan Hari Ini

Malaysia terus kempunan

ISTAF

HAJAT Malaysia untuk merangkul kejuaraan Siri Super 3 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2013/14 tidak kesampaian apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand 2-3 pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu semalam.

Kekalahan itu sekali gus mengulangi pencapaian mengecewakan skuad negara selepas turut bergelar naib juara pada edisi Siri Super di New Delhi dan Bangkok sebelum ini.

Pada aksi semalam, anak-anak buah Jamaluddin Hassan berpeluang mencipta sejarah apabila mendahului dua set pertama sebelum Thailand bangkit dengan memenangi tiga set berikutnya dengan keputusan penuh 12-15, 11-15, 15-4, 15-12 dan 15-7.

Perlawanan akhir yang berlarutan selama hampir dua jam itu itu menyaksikan Malaysia menurunkan trio utama, Nor Azman Hamid, Syazreen Qamar dan Hanafiah Dolah.

Thailand pula selaku juara edisi di Bangkok bulan lalu menurunkan tekong simpanan, Tanawat Chumsena pada set ketiga untuk bergandingan bersama Panupong Petlue dan Anuwat Chaichana.

Bagi Jamaluddin, percaturan lawan yang menurunkan tekong simpanan pada set ketiga jelas mengubah rentak permainan sehingga memaksa pemain-pemain negara melakukan beberapa kesilapan mudah.

“Kita berjaya menguasai dua set pertama sekalipun Thailand menurunkan tekong utamanya, namun segalanya berubah apabila Tanawat masuk dengan melakukan variasi servis yang mengelirukan,” katanya ketika ditemui sebaik perlawanan tersebut berakhir.

Tambah Jamaluddin lagi, percaturannya untuk menurunkan Fazil Mohd. Asri di posisi tekong juga tidak membawa hasil apabila servis kencang yang dilakukan pemain itu sering dibatalkan pengadil.

“Seharusnya saya meminta maaf kepada penyokong terutamanya yang memenuhi dewan hari ini (semalam) kerana kami gagal memenuhi impian mereka untuk menjuarai kejohanan ini.

“Saya kecewa apabila kita tewas lagi dalam perlawanan akhir sedangkan pasukan kita telah memenangi dua set awal,” ujarnya.

Bagaimanapun, Jamaluddin tetap optimis trio yang diturunkan semalam mampu menghadirkan kejayaan kepada negara terutamanya pada Sukan SEA akan di Myanmar penghujung tahun ini.

“Kita tewas dalam pertarungan lima set dan saya cukup bangga dengan regu yang kita ada ini. Mereka menunjukkan permainan yang baik sekali pun ada pemain yang pertama kali beraksi tahun ini,” jelasnya.

Dalam dua perlawanan akhir Siri Super sebelum ini, Malaysia turut gagal bergelar juara apabila tewas kepada Korea Selatan di New Delhi sebelum dijinakkan Thailand pada aksi di Bangkok.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kategori wanita menyaksikan trio negara sekadar berkedudukan keempat selepas tewas 10-15, 9-15 kepada Indonesia pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");