SINGAPURA – Memandangkan Malaysia dijadualkan mengambil alih sebagai Pengerusi Asean pada 2015, negara itu sedang berusaha keras untuk memastikan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) menjadi realiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Berdasarkan giliran, Brunei adalah pengerusi semasa perkumpulan itu, katanya.
“Malaysia akan mengambil alih daripada Thailand, yang akan menerajui perkumpulan itu sebagai pengerusi selepas ini dalam tahun 2014,” katanya selepas Forum Perniagaan Malaysia di sini, pada Selasa.
Mustapa berkata, pada forum yang diadakan sempena misi perdagangan dan pelaburan ke Singapura yang diketuainya itu, komuniti perniagaan menimbulkan isu perjalanan tanpa sempadan.
“Sebagai dua jiran terdekat, memang elok bagi kita mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan kastam. Ada yang terpaksa bekerja dengan kekurangan kakitangan, tetapi itu seharusnya tidak menjadi masalah,” katanya.
“Kita mahu menjadi AEC pada 2015, jadi di Malaysia, kami sedang berusaha keras untuk menarik penyertaan rakyat, untuk memberitahu mereka tentang peluang dan cabaran.
“Selain itu kami komited untuk melaksanakan semua perjanjian yang telah kami tandatangani dalam Asean. Rekod kami menunjukkan kami telah melaksanakan sebanyak 80.8 peratus.
“Tidak mungkin kita dapat mencapai 100 peratus, tetapi saya tahu setiap negara Asean sedang berusaha keras (untuk mencapai matlamat AEC).
“Kita tahu penyepaduan ekonomi Asean amat baik bagi semua pihak, jadi kami, menteri-menteri ekonomi komited untuk berusaha dengan lebih gigih lagi dalam satu setengah tahun akan datang untuk memastikan AEC menjadi satu kenyataan,” tegas beliau.
– Bernama