Berita Hari Ini

Modul Op Fajar Akan Diterap Dalam Operasi Esscom – Hishammuddin

hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan menghalusi dan mengkaji pendekatan Operasi Fajar (Op Fajar) yang diguna pakai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyelamatkan kapal dagang Malaysia pada 2008 untuk diterap dalam modul operasi ESSCOM.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pendekatan Op Fajar dilihat amat relevan dan sesuai untuk memperkasa pengoperasian ESSCOM iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah untuk menghadapi ancaman lanun dan ancaman merentas sempadan.

Beliau berkata kejayaan misi Op Fajar membabitkan pasukan khas ATM dianggotai pasukan udara dan laut serta Gerup Gerak Khas menyelamatkan dua kapal dagang Malaysia yang ditawan lanun Somalia di perairan Teluk Aden, seharusnya dijadikan contoh oleh ESSCOM untuk memantapkan kawalan keselamatan mereka.

“Modul Op Fajar kalau kita hendak terjemahkan pada pengoperasian di Sabah ia merupakan sesuatu yang tepat terutama untuk kita hadapi pelbagai ancaman seperti ancaman lanun, pembunuhan serta penculikan yang berlaku di Semporna (Sabah), baru-baru ini.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Coffee Table Book Op Fajar berjudul ‘The Malaysian Success Story in The Gulf of Aden’ di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, di sini, Selasa.

Hishammuddin berkata pelaksanaan modul Op Fajar memerlukan komitmen semua pihak termasuk orang ramai untuk menjayakannya dan ia tidak terletak di bahu pasukan keselamatan sahaja.

Polis Diraja Malaysia dan ATM akan digerakkan bersama dalam melaksanakan Op Fajar di kawasan pengawasan ESSCOM dan segala bentuk pengoperasian dan strategi akan dijalankan secara bersama, katanya.

Misi Op Fajar yang dijalankan pada 28 Ogos 2008 bertujuan menyelamatkan dua buah kapal Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC Berhad) yang ditawan lanun Somalia pada 19 Ogos 2008 dan ekoran kejadian itu kerajaan telah memutuskan setiap kapal dagang Malaysia yang melalui Teluk Aden akan diiringi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sehingga kini TLDM telah mengiringi 479 kapal dagang Malaysia yang dilaksanakan oleh 2,244 pegawai dan anggota TLDM.

Hishammuddin berkata langkah Malaysia yang menjadi perintis kepada pelaksanaan Op Fajar turut dikagumi masyarakat antarabangsa malah ada negara lain yang berminat menjadikan Malaysia sebagai contoh dalam menjalankan Op Fajar.

Katanya, negara seperti China telah menyatakan minat untuk mencontohi Malaysia dalam mengiringi kapal dagang yang melalui Teluk Aden dan ia merupakan suatu perkara yang patut dikagumi.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");