Sukan Hari Ini

MSN terus pantau isu keselamatan di Myanmar

KL32_231013_MENEMBAKMAJLIS Sukan Negara (MSN) akan terus memantau aspek keselamatan di Myanmar sebelum kontinjen negara berangkat ke negara itu untuk menyertai Sukan SEA 2013 bulan depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Kedutaan Malaysia di Myanmar mengenai cubaan pegeboman ke atas sebuah masjid seperti yang dilaporkan sebuah agensi berita asing.

“Pada masa yang sama, kami akan merujuk kepada pihak Wisma Putra untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum kami ambil tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Bagaimanapun, Zolkples berharap insiden tersebut tidak akan menjejaskan pengelolaan temasya sukan dwitahunan berkenaan dan penyertaan atlet negara.

“Ini kerana kami telah membuat persediaan yang begitu rapi dan sekarang mereka (atlet ke Sukan SEA) sedang bersemangat sekali untuk pergi ke sana,” katanya.

Sukan SEA secara rasmi akan bermula 11 hingga 22 Disember depan.

Agensi berita semalam melaporkan polis Myanmar menahan tiga lelaki dari wilayah Rakhine yang dipercayai merancang serangan bom ke atas sebuah masjid di Yangon, Myanmar.

Dalam pada itu, Zolkples berkata, kesemua atlet negara akan menyertai perhimpunan atlet fasa akhir selama lima hari bermula 2 Disember ini sebelum berangkat ke Myanmar.

“Perhimpunan ini akan diadakan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dan kemungkinan pada 4 Disember, kami akan mengadakan majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang” katanya.

Mengulas mengenai pembawa bendera jalur gemilang ke Sukan SEA, Zolkples berkata, perkara berkenaan akan diputuskan oleh MOM dalam tempoh terdekat.

– BERNAMA

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");