Berita Hari Ini

Nahas Genting Highlands: Kerajaan Tidak Akan Sembunyi Hasil Siasatan – Hishammuddin

KL12_110711_SIDANG MEDIA

MELAKA: Kerajaan tidak akan sama sekali menyembunyikan hasil siasatan nahas bas di Genting Highlands yang mengorbankan 37 penumpang di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 21 Ogos lepas, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan laporan penuh siasatan nahas itu akan dimaklumkan kepada pengetahuan umum sekali gus menggambarkan ketelusan kerajaan menangani isu berhubung kemalangan kenderaan komersil yang membawa penumpang.

“Saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan kanan Genting Highlands Berhad dan meminta mereka bekerjasama dengan pihak yang terlibat dalam penyiasatan nahas ini.

“Saya juga telah mengarahkan semua pihak terlibat untuk menyiasat secara menyeluruh dan telus terhadap setiap laporan yang dikeluarkan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di Bandar Hilir di sini malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah dan Pengerusi MKJR Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Hishammuddin berkata Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menyediakan laporan awal yang benar-benar telus berhubung insiden itu dan sebagai langkah segera Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah mengeluarkan notis untuk menggantung perkhidmatan bas terbabit.

“Inilah transformasi yang saya lakukan di kementerian ini…saya ingin menjadikan nahas ini sebagai titik mula kepada penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya di kawasan peranginan dan kawasan berisiko tinggi seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata kementeriannya telah mengarahkan JKJR dan MKJR menubuhkan cawangan MKJR di setiap daerah seluruh negara bermula Januari tahun depan.

“Sebelum ini MKJR hanya beroperasi di peringkat persekutuan dan negeri, tujuan perluasan ini adalah bagi memastikan usaha serta inisiatif dalam memberi kesedaran dan pendedahan mengenai keselamatan jalan raya dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan kerugian sebanyak RM8.3 billion dialami kerajaan akibat 6,917 kes kemalangan maut tahun lepas tidak akan berulang kembali.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");