Sukan Hari Ini

Pelumba Kenya dominasi maraton jambatan P. Pinang

kenya

Pelumba Kenya sekali lagi menguasai Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2013 apabila menyapu bersih tiga tangga teratas dalam kategori maraton penuh lelaki dan wanita.

James C Tallam muncul juara kategori lelaki dengan catatan masa dua jam 24 minit diikuti Joseph Gitau Karuiki (2’25:40.99s) dan Isaac Kiplagat Kimayio (2’25:57.66s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

James, 27, yang menyertai PBIM untuk kali kedua selepas 2010, berkata beliau gembira kerana memenangi acara ini selepas percubaan kali kedua.

“Saya telah mempersiapkan diri saya untuk acara ini dan hasilnya amat baik dan kemenangan ini akan mendorong saya untuk menyertai acara ini sekali lagi tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, tempat kedua RM8,000 dan tempatketiga RM4,500 termasuk pingat, trofi dan hadiah iringan.

Bagi kategori maraton penuh wanita, Naomi Wambui Muriuki yang menyertai acara itu buat pertama kali muncul juara dengan catatan masa dua jam 53 minit mengatasi Cecilia Wangui Warutumo (3’11:17.79s) dan Caroline Kigen (3’14:52.45s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, bagi kategori maraton penuh terbuka lelaki Malaysia, Shaharuddin Hashim, 38, dari Pulau Pinang, memenanginya bagi kali kelima berturut-turut dengan catatan masa dua jam 46 minit dan 12.87saat, Fabian Osmond Daimon menduduki tempat kedua (2’46:32.26s) dan Muhaizar Mohamad di tempat ketiga dengan catatan masa 2’49:36.81s.

Shaharuddin, seorang koperal polis di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur (Pulapol), berkata beliau berlatih dua jam setiap sehari selama tiga bulan bagi menghadapi perlumbaan itu.

“Setiap hari saya tetapkan masa saya untuk berlatih dan saya bangga dapat mempertahankan kategori ini,” katanya.

Dalam kategori maraton penuh terbuka wanita Malaysia, Ewe Bee Hong muncul juara dengan catatan 3’45:05.18s mengatasi Kona@Lydia Liau A Ken (3’49:02.24s) dan Jessica Tang Mei Lee (3’54:19.89s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Bekas jaguh jalan kaki negara Yuan Yufang muncul juara bagi kategori separuh maraton wanita veteran dengan catatan satu jam 35 minit dan 46:40s, Susan Khoo dari England menduduki tempat kedua (1’36:54.27s) manakala tempat ketiga disandang Ng Sun Nee (1’39:49.26s).

Tahun depan, Maraton Jambatan Pulau Pinang dijangka diadakan di Jambatan Kedua sepanjang 24km yang dijadual siap tahun ini.

PBIM 2013 menarik penyertaan 47,000 pelumba tempatan dan antarabangsa, dan dicatatkan sebagai maraton jambatan dengan penyertaan peserta terbanyak bagi tiga kali berturut-turut dalam Malaysia Book of Records.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");