Berita Hari Ini

Pengiran Muda Mahkota Brunei tiba di Malaysia

brunei

PETALING JAYA – Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, di sini hari ini sempena lawatan rasmi lima hari.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Salleh pada 11.15 pagi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Turut mengiringi baginda ialah putera baginda, Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan puteri, Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah serta pegawai kanan Brunei Darussalam.

Pengiran Muda Mahkota dijadual berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara di ibu negara lewat tengah hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar semalam, lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Brunei Darussalam dan Malaysia serta memantapkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan ekonomi.

Pengiran Muda Mahkota dan Pengiran Anak Isteri diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, yang disusuli Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Negara.

Majlis sambutan rasmi pula akan diadakan di Dataran Putra, Putrajaya diikuti Majlis Menghadap Bersama dan Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Pengiran Muda Mahkota juga akan melawat Kementerian Pertahanan sebelum mengadakan perbincangan dengan Hishamuddin.

Baginda dijadual menyertai latihan dan demonstrasi bersama Angkatan Tentera Malaysia di Kem Terendak, Melaka dan Kem Iskandar di Mersing, Johor.

Pengiran Muda Mahkota akan dikurniakan Beret Hijau dan Sayap Penerjunan PARA Kehormat pada penghujung latihan berkenaan.

Menurut Kementerian Luar, sebagai Pengerusi Autoriti Monetari Brunei Darussalam, Pengiran Muda Mahkota dijadual melawat Bank Negara Malaysia selain menghadiri sesi taklimat khas berkaitan Sistem Kewangan Islam, Inisiatif Pembesaran Kuala Lumpur/Lembah Klang dan Inisiatif Pengenerasian Semua Kampong Bharu.

Pengiran Anak Isteri pula akan melawat Taman Burung Kuala Lumpur dan Pusat PERMATA Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");