Perak Hari Ini

Perak Bakal Anjur 10 Acara Antarabangsa Tahun Hadapan

PERAK TODAY

Kerajaan negeri akan menganjurkan 10 acara sukan dan pelancongan bertaraf antarbangsa pada tahun hadapan sebagai usaha untuk memperkenalkan nama Perak di persada dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan dengan penganjuran acara bertaraf antarabangsa juga, sasaran kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong melawat Perak dapat direalisasikan.

“Kerajaan negeri merancang beberapa program besar seperti acara sukan dan pelancongan yang bertaraf antarabangsa sebagai usaha untuk mengantarabangsakan Perak di persada dunia pada 2014.

“Pada tahun ini, kita berjaya menganjurkan beberapa acara bertaraf antarabangsanya antaranya Kongres Penyair Sedunia yang berlangsung di beberapa lokasi terpilih termasuk Pulau Pangkor.

“Untuk tahun hadapan pula, kita menjangka 10 acara besar bakal berlangsung di Perak dengan harapan ia dapat mempopularkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan, persidangan dan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pangkor World Jetrace Challenge Edisi 2013 di Pasir Bogak, dekat Pulau Pangkor, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berpuas hati dengan penganjuran acara itu yang mendapat liputan meluas media massa.

“Difahamkan sambutan daripada peserta adalah di luar jangkaan dan kita saksikan ribuan pengunjung turut memeriahkan acara ini yang berlangsung di musim cuti persekolahan.

“Selain itu, anak tempatan dari Pulau Pangkor yang lebih dikenali sebagai Eddy Pangkor turut menyahut cabaran untuk bersaing dengan pelumba jet ski antarabangsa lain seperti juara dunia dari Jepun iaitu, Toshi Samurai,” jelas Zambry lagi.

Tegasnya, kejayaan anak Pulau Pangkor membariskan namanya sebagai pelumba ketujuh di ranking dunia merupakan satu kebanggaan bagi negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.

Berdasarkan sambutan baik itu juga, acara PWJC akan dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Perak sekaligus menjadi acara sukan pelancongan tahunan.

Sementara itu, Shahrul Zaman memaklumkan seramai 23 peserta dan lapan pasukan menyertai PWJR 2013 yang dilihat berpotensi mempromosikan Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Selain menggalakkan sektor pelancongan, acara itu juga katanya, menjadi platform terbaik mencungkil bakat baru dalam sukan jet ski tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");