Perak Hari Ini

Perak Pantau Sekolah Untuk Banteras Fahaman Syiah: DS Zambry

dun1 zamKerajaan Perak akan terus memantau semua sekolah di negeri itu khususnya yang menawarkan subjek Pendidikan Islam bagi memastikan tiada guru-guru terbabit dengan ajaran Syiah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor), berkata daripada penangkapan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), tiada penganut ajaran itu dilaporkan di kalangan guru-guru di Perak.

“Daripada tangkapan yang dibuat, didapati tiada penganut yang terdiri daripada kalangan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) yang ingin tahu kemungkinan terdapat pengikut Syiah di kalangan guru-guru seperti  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke -13 di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Zambry memberitahu, tahap pengaruh ajaran Syiah di Perak terutamanya di Daerah Kerian masih dalam keadaan terkawal apabila JAIPk terus menggiatkan program kefahaman.

“Pemantauan dan tumpuan banyak diberikan di Daerah Kerian kerana pengikut Syiah didapati tertumpu kepada daerah tersebut.

“Banyak program kefahaman masyarakat diberikan di kawasan ini dan ia menjurus kepada kebolehan penyekatan terhadap pengaruh Syiah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Selain itu, tambahnya, tindakan JAIPk mewartakan Syiah sebagai ajaran sesat dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu dasar yang mampu membanteras kegiatan yang melanggar akidah itu.

Kata Zambry lagi, pihak JAIPk melalui bahagian penyelidikan telah menghantar surat arahan kepada semua masjid di seluruh negeri Perak untuk menghantar semua buku serta risalah berkenaan Syiah yang disebarkan di masjid untuk tujuan pelupusan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pengikut ini sekiranya amalan terus disebarkan melalui apa jua cara.

“Siri tangkapan antaranya tiga di Parit Buntar dan dua di Taiping serta pengakuan secara terbuka bahawa mereka pengikut Syiah juga dilakukan ke atas semua pengikut mereka melalui penguatkuasa Undang-undang Syariah,” katanya lagi.

Beliau juga yakin mereka yang baharu sahaja mengikut fahaman itu dapat diselamatkan menerusi pelbagai cara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");