SHAH ALAM – Ulama Pas perlu mempunyai kualiti setaraf ulama antarabangsa sehingga boleh membincangkan pelbagai isu bukan hanya ilmu agama malah ekonomi dan isu-isu semasa.
Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik berpendapat, ulama Pas harus memainkan peranan hingga ke peringkat tertinggi hingga melangkaui peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, buat masa ini, Dewan Ulama Pas dilihat sama seperti Dewan Pemuda dan Muslimat.
“Kita tahu dalam Pas, Majlis Syura Ulama adalah yang tertinggi. Tetapi, bagi ulama-ulama dalam Pas, sudah tiba masa mereka bergerak selangkah lagi untuk meletakkan diri mereka pada satu tahap disegani.
“Kerana itu, ulama perlu mantap dalam erti kata sebenar dan tidak akan lagi di perlekeh setiap kali berbicara. Jika tidak, pelbagai persepsi akan terus timbul dengan peranan ulama,” katanya.
Beliau berkata, ulama hari ini perlu mengimbas semula pemimpin ulama Pas sekitar 1980-an dulu dengan mengambil contoh nama-nama seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Datuk Fadzil Noor dan ramai lagi.
“Mereka ini bukan hanya boleh bercakap soal agama malah melangkaui hingga disegani. Mereka ada menulis karya-karya dan diingati sehingga ke hari ini.
“Saya tidak kata, ulama Pas sekarang tidak bagus, tetapi mereka perlu ada kualiti sebegitu,” katanya.
Beliau berkata, Ulama pas boleh mengambil contoh ulama antarabangsa yang ada antaranya boleh bertutur lebih lima bahasa, bercakap soal hubungan antarabangsa dan undang-undang.
“Ulama Pas juga boleh ke arah itu dengan berani mengeluarkan fatwa alternatif berserta hujah konkrit.
“Mereka juga boleh merujuk kepada Fatwa Tarjih Muhammadiyah Indonesia sebagai panduan bagi melengkapkan kualiti,” katanya.
-SINAR HARIAN