Membawang Hari Ini

Pernah dicemuh, dilayan bak pengemis

pernah dicemuh

Kejayaan penyanyi jalanan cilik dari Indonesia, Tegar, 12, menerobos pasaran di negara ini, bagaikan memberi nafas baru kepada peminat muzik di Malaysia.

Pemuzik jalanan yang sedikit masa lalu dipinggirkan, kini lebih dihargai, khususnya di bandar besar terutama di ibu kota. Ramai anak muda yang berbakat bermain alat muzik kini muncul menjual suara di pinggir jalan dan kafe, selain lokasi terbuka.

Kuala Lumpur, kebanyakan penyanyi jalanan ini menjual bakat mereka di merata tempat, antaranya di sekitar Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitar Pasar Budaya.

Begitu juga seorang gadis yang dikategorikan sebagai penyanyi jalanan yang dikenali sebagai Zazo Ly. Usah terkejut, sejak usianya 13 tahun lagi, dia sudah bergelut dengan dunia busker apabila menjual suara di Taman KLCC.

Dorongan ibu

Dia mula menjaja bakatnya disebabkan satu insiden yang merentap emosi kanak-kanaknya. Pemergian ibu tercinta ketika usianya 13 tahun pernah meragut keyakinan dirinya. Hampir dua tahun dia mencari diri, cuba mengumpul semula kekuatan untuk bangkit meneruskan hidup.

Akur dia tidak boleh selamanya terperuk dalam kesedihan. Ketika hayat ibunya masih ada, arwah sering meniupkan kata semangat supaya terus mengasah bakat nyanyiannya. Sejak kematian ibu, dia meluahkan isi hatinya menerusi seni suara yang dikongsi dengan orang ramai di kaki lima.
Kata dorongan arwah ibunya, Allahyarham Noriah Abdullah itu seakan kembali terngiang, lantas Zazo Ly atau nama sebenarnya Siti Zaleha Zolkeply bangkit mencari keyakinan diri.

“Saya belajar bermain gitar menerusi pemerhatian, seterusnya berjinak-jinak dengan dunia busking. Bukan tiada yang melarang, lebih lagi kerana saya perempuan dan bergerak sendiri tetapi saya kuatkan juga semangat.

Positif berdepan hidup

“Ramai bimbangkan keselamatan saya. Namun saya hanya takut kepada Allah dan keyakinan itu membuat saya berani ke mana saja tanpa ditemani,” katanya yang kini berusia 23 tahun dan turut meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Zazo Ly mengakui, menyanyi di jalanan membuka mindanya supaya positif berdepan dengan hidup. Bukan tidak pernah diuji dengan perkataan pedih, namun Zazo enggan membiarkan semangatnya lemah hanya kerana memikirkan pandangan serong masyarakat.

“Ada yang mencemuh pemuzik jalanan selekeh, malah pernah saya dilempar hinaan sebagai perempuan tidak bermaruah hanya kerana menyanyi di tempat terbuka. Tidak kurang segelintir yang melayan kami seperti pengemis.

“Namun, semua pengalaman itu membentuk saya menjadi lebih matang. Saya tidak menyesal dengan jalan yang dipilih,” katanya.

Wang yang diperoleh ketika menyanyi di jalanan kata Zazo, dimanfaatkan untuk menampung pengajiannya. Biarpun ada ketika tidak mencukupi tetapi gadis yang murah senyuman ini tidak pernah merungut.

Minat busking

“Lokasi pertama saya menyanyi adalah di lorong bawah tanah berhampiran Avenue K, bertentangan KLCC pada 2005. Ketika itu, saya hanya menyanyi pada musim cuti sekolah. Selepas melanjutkan pelajaran dalam Diploma Seni Halus, minat saya terhadap busking semakin tebal. Bermula di ibu kota, saya berjinak-jinak menyanyi di luar ibu negara seperti ke Melaka dan paling menyeronokkan, ketika menghiburkan pengunjung di Pasar Karat, Johor Bahru.

“Mereka beg itu menghargai pemuzik jalanan. Sesekali saya akan curi-curi menyanyi di Orchard Road, Singapura. Bimbang juga jika ditahan pihak berkuasa di sana, tetapi setakat ini, Alhamdulillah tiada yang buruk berlaku,” katanya yang kerap menyanyi lagu popular masa kini.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");