JAKARTA – INDONESIA. Puluhan anggota polis mula memakai tudung sejak Jumaat lalu selepas keputusan polis negara membenarkan pemakaian itu di Sidoarjo dan Surabaya, Jawa Timur.
Ketua Polis Surabaya Setija Junianta berkata, daripada 146 anggota di Surabaya, seramai 40 daripada mereka secara rasmi meminta untuk dibenarkan memakai tudung.
“Keputusan itu disambut baik sejajar dengan tuntutan hak kebebasan beragama,” katanya pada laporan Antara.
Rabu lalu, Ketua Polis Negara Jeneral Sutarman memberikan kelulusan terhadap etika pemakaian itu.
“Anggota yang ingin menutup kepala mereka boleh berbuat demikian sama seperti anggota di Aceh. Namun, perlu membeli tudung sendiri kerana kerajaan tidak mempunyai bajet,” katanya.
Larangan anggota polis wanita memakai tudung diperkenalkan pada 2005, selepas bekas ketua polis, Sutanto mengeluarkan arahan semua pegawai polis hanya dibenarkan memakai pakaian rasmi sahaja.
-SINAR HARIAN