Jenayah

Polis lancar Ops Cantas wanita

Datuk Abdul Rahim Hanafi

GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang akan melancarkan pasukan Ops Cantas khas yang dianggotai pegawai dan anggota wanita bagi mengendalikan kes jenayah kekerasan melibatkan golongan itu.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat penolong penguasa polis (ASP) dan dibantu seorang inspektor serta 18 anggota lain-lain pangkat itu berkuat kuasa 15 Nov ini.

“Mereka ini akan dilengkapkan dengan pakaian dan senjata khas, sama seperti pasukan lelaki bagi memudahkan kita mengendalikan kes melibatkan penjenayah wanita,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar polis di sini hari ini.

Katanya walaupun bilangan penjenayah wanita hanya mewakili peratusan kecil, beliau berharap pasukan khas itu dapat memantapkan lagi pasukan Ops Cantas dalam usaha memerangi jenayah dan kegiatan kongsi gelap di Pulau Pinang.

Beliau berkata, menerusi Ops Cantas sejak 17 Ogos lepas, polis menahan 1,162 suspek dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah di negeri ini dan 165 daripadanya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.

Katanya polis turut merampas 4,381 pelbagai jenis senjata termasuk senjata api, parang, pedang samurai dan bom yang dipercayai diguna untuk tujuan jenayah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata indeks jenayah Pulau Pinang menunjukkan peningkatan 0.8 peratus atau 52 kes dalam tempoh Januari sehingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Kawasan Seberang Perai Tengah mencatatkan kes tertinggi manakala daerah-daerah lain mencatatkan penurunan kes yang ketara, bagaimanapun kita yakin dengan komitmen pelbagai pihak kita dapat turunkan lagi kadar jenayah sehingga tiga peratus sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, sebanyak 500 individu termasuk orang awam serta anggota polis menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan surat penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");