Berita Hari Ini

Produk PKS ke pasaran Hong Kong

HONG KONG

GIANT Malaysia dan Wellcome Hong Kong di bawah syarikat Dairy Farm International Group (Dairy Farm) mempromosikan produk makanan keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke pasaran Hong Kong.

Pengarah Serantau (Makanan) Malaysia dan Brunei Dairy Farm, Jeff Shaw berkata, kerjasama itu bertujuan mempertingkat dagangan antara kedua-dua negara.

“Sebanyak 176 produk daripada 56 jenama dipilih dalam program promosi kali ini. Ia termasuk Alif, Hang Tuah, Tean’s, Old Town, Edo Pack, Best Food, Potong dan Kawan.

“Dairy Farm, menerima peluang untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu PKS tempatan memperkembang sektor peruncitan negara,” katanya.

Menurutnya, produk tempatan dipromosikan di peringkat global dan dijual di enam buah cawangan Wellcome Superstores iaitu di Sunshine City, Fortress Metro Tower, Causeway Bay, Hung Hum, Metrocity III dan Sheung Shui Tower Centre.

Program itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek di Wellcome Sunshine City, Hong Kong pada 9 November lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Arif Abdul Rahman.

Jeff Shaw berkata, produk makanan itu dipromosikan melalui program Cita rasa Malaysia kali kelapan baru- baru ini.

“Ia peluang pemasaran dan promosi KPDNKK membantu memperluas perniagaan PKS tempatan ke peringkat global.

“Produk-produk terlibat termasuk biskut, minuman, makanan dalam tin, kuah salad, barangan keperluan masakan, makanan sejuk beku dan pelbagai lagi. Produk-produk Malaysia akan mudah diperoleh pengguna Hong Kong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wellcome Hong Kong, Lim Boon Cheong berkata, Promosi Cita rasa Malaysia adalah kejayaan usaha sama KPDNKK Malaysia dengan negara operasi Dairy Farm yang meliputi Hong Kong, Indonesia dan Singapura.

“Promosi Cita rasa Malaysia di Hong Kong adalah seiring dengan polisi Giant dalam membantu pengembangan perniagaan peruncitan PKS Malaysia. Selain Hong Kong, Giant Malaysia juga menganjurkan promosi serupa yang berjaya dengan rangkaian di bawah Dairy Farm Group di negara-negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");