Jenayah

Rampas barang lebih RM1 juta

rampasan barang

DENGKIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan penyeludupan rokok dan arak terbesar di negara ini dianggarkan bernilai RM1.142 juta di terminal kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang pada 11 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Zainul Abidin Taib berkata, JKDM Melaka dengan kerjasama daripada JKDM Pulau Pinang berjaya menahan dua buah kontena berisi barang terbabit.

“Orang awam menghubungi JKDM Melaka mengatakan kedua-dua kontena terbabit mengandungi rokok dan arak yang dibawa oleh sebuah kapal.

“Apabila mengetahui kapal itu berlabuh di terminal tersebut, pihak JKDM Melaka telah menghubungi JKDM Pulau Pinang untuk meminta membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Siasatan Khas, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya mendapati sindiket ini mengisytiharkan barang dalam kontena tersebut sebagai ‘PVC Gloves’ dan ‘Solar Glass’.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan daripada kedua-dua kontena itu mendapati terdapat 18,856,000 batang rokok putih dan kretek dan 4,800 botol arak pelbagai jenama yang melibatkan cukai kastam bernilai RM10.415 juta.

Katanya, barang-barang ini dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual ke pasaran tempatan yang mana rokok dijual dengan harga RM3.50 sekotak dan aktiviti ini sangat merugikan kepada hasil pendapatan negara.

Zainul Abidin berkata, susulan rampasan ini, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti ini.

“Kedua-dua mereka masing-masing berumur 43 dan 44 tahun itu ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(G) Akta Kastam 1976 dan Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan diminta tampil untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu orang awam juga boleh terus menghubungi talian bebas tol 1-800-8855.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");