PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali menafikan tuduhan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mendakwa beliau seolah-olah ‘mungkir janji’ dengan pasukan itu apabila membatalkan keputusan untuk kembali ke pangkuan pasukan The Red Giants, sebaliknya memilih untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Menerusi laman Facebook semalam, Safee yang merupakan bekas penyerang Pelita Jaya itu menegaskan bahawa tidak timbul isu mungkir janji memandangkan selama ini tiada sebarang perjanjian hitam putih yang dibuat antara dia dan pasukan Selangor.
“Memang kisah ‘U turn’ kecoh pada musim ini….di sini saya ingin membuat penjelasan bagi pihak saya sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah sama sekali menyatakan akan menyertai mana-mana pasukan lain seperti yang diheboh-hebohkan oleh media massa atau media elektronik terutama pasukan Selangor.
“Tidak dinafikan memang ada perbincangan dilakukan dan itu untuk memberi saya pilihan mana yang terbaik untuk karier saya sebagai pemain.
“Lagipun banyak perbincangan yang dilakukan dengan berbagai kelab di Malaysia mahupun di luar negara, bukan sahaja Selangor.
“Tapi akhirnya saya memutuskan untuk kekal bersama pasukan JDT kerana misi saya di JDT masih belum selesai,” katanya.
Dalam laporan media tempatan kelmarin, tindakan Safee yang secara tiba-tiba membuat pusingan U dengan menukar pendirian untuk terus kekal bersama JDT musim depan cukup mengecewakan FAS.
Walaupun sudah mendapat persetujuan secara lisan bersama dengan bayaran pendahuluan namun usaha untuk mendapatkan khidmat pemain itu akhirnya bertukar menjadi angan kosong buat skuad Gergasi Merah Kuning.
Walaupun mengakui kecewa dengan tindakan pemain berusia 29 tahun itu, namun FAS secara ‘gentleman’ menerima keputusan Safee dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.
Safee berkata, beliau berharap semua penyokong memahami situasi terkini dan teruskan menyokong pasukan masing-masing.
“Dengan kekecohan yang berlaku sekarang saya nampak banyak yang mengikuti perkembangan bola sepak kita sekarang..bagus dan teruskan menyokong pasukan anda masing-masing dan meriahkan lagi suasana bola sepak kita di Malaysia,” ujarnya.
-Sinar harian