Isu Panas

Sektor pertanian tetap diperkasa kerajaan BN

muhyiddin

YAN – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau yang masuk hari terakhir hari ini menyaksikan sektor pertanian yang merupakan sektor penting di kawasan itu, terus diberi perhatian khusus oleh kerajaan BN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan nasib golongan petani termasuk nelayan, peladang dan penternak akan terus diberi perhatian, khususnya dalam membantu mereka menjana pendapatan lebih tinggi.

“Silap besar kalau sektor pertanian diabaikan. Malah ada negara maju seperti Jepun, sawah bendangnya masih ada. Kita hendak melihat bagaimana menentukan hasil negara dalam bidang pertanian mesti bertambah sebab keperluan makanan dah jadi agenda utama negara.

“Tetapi kita tak mahu petani hanya mendapat hasil tanaman dan keluaran sahaja. Petani mesti diberi peluang tambah pendapatan selain tidak boleh membiarkan orang tengah menentukan nasib kita,” katanya ketika berucap melancarkan Pasar Tani Sungai Limau Dalam, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Nancy Shukri.

Muhyiddin menambah, melalui pasar tani yang dibangunkan di seluruh negara, penggiat industri pertanian berpeluang meningkatkan pendapatan secara langsung tanpa membabitkan orang tengah untuk memasarkan hasil tani.

Katanya, golongan petani harus sedar aktiviti pertanian bukan hanya tertumpu kepada kerja bertani sepanjang masa, malah perlu mencakupi aspek perniagaan.

Justeru, beliau memuji langkah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menaik taraf pasar harian Sungai Limau kepada pasar tani bagi menggalakkan lebih ramai golongan itu menceburi bidang perniagaan.

“Inilah dasar kerajaan BN. Amalan-amalan kita adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Perniagaan juga diutamakan di zaman Rasulullah.

“Sebab itu, kalau ada orang kata dasar Umno dan BN bercanggah atau tidak selari dengan tuntutan agama, ini adalah satu penyelewengan,” tegasnya.

Untuk rekod, sehingga September 2013, terdapat 512 buah pasar tani di seluruh negara melibatkan 23,222 peserta dengan nilai jualan RM488 juta.

Esok, 27,222 pemilih berdaftar di Dun Sungai Limau akan memilih wakil rakyat mereka yang baharu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat.

Kerusi Dun itu kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");