Membawang Hari Ini

Syarul tak lagi berpaling

syarul

Bakat baru dalam bidang lakonan, Syarul Ridzwan, bukan saja pernah menjual bakat peragaannya kepada sebuah agensi, malah wakil daripada agensi itu terus menegur ­tubuhnya yang kurus dan wajahnya yang berjerawat.

Akui Syarul, waktu itu ­tubuhnya memang kurus kering dan dia juga belum ­pandai menjaga penampilan diri.

“Saya balik dengan semangat yang menebal untuk ‘membina’ badan yang kurus kering agar tampil sasa ­dengan bersenam dan pergi ke jimnasium serta mula menjaga wajah. Selepas yakin dengan diri sendiri, saya pergi mencuba lagi sesi uji bakat untuk model barangan dan akhirnya berjaya muncul ­dalam iklan KFC.

“Sejak itu, saya tidak berpaling lagi dengan berlakon pula buat kali pertama ­dengan beraksi dalam drama 3 Janji. Namun, waktu itu saya tidak tahu selok belok dunia lakonan dan apabila berada di lokasi berasa ­serba tidak kena. Saya tak tahu ­macam mana nak berdialog dan mencari sudut kamera. Oleh kerana tidak mahu terus memalukan diri sendiri, saya berhenti berlakon sekejap.

“Selepas beberapa bulan ‘berehat’ saya memberanikan diri semula berlakon dalam drama Amukan Pocong yang disiarkan di TV3, memegang peranan pembantu. Bermulalah era baru hidup saya sebagai pelakon apabila JS Pictures pula menawarkan watak dalam telefilem Hujan yang disiarkan pada Ramadan lalu menerusi slot Azalea,” katanya.

Berdebar berlakon di sisi Emma

Bagaimanapun drama Love U Mr Arrogant yang mendapat sambutan hangat
di TV3, berjaya mencungkil bakat sebenar Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim. Walaupun dalam drama itu wataknya kecil saja sebagai Faizal, tetapi watak itu yang menjadi penyebab kepada semua konflik dalam drama itu.

Paling terbaru, pemuda berusia 24 tahun itu diberi peluang memegang watak utama dalam drama 13 episod, SweetHeat Fantasia yang boleh ditonton menerusi portal Tonton, mulai 11 November hingga 23 Disember ini. Ia bersiaran selama lima minit, pada jam 12 tengah hari.

“Berdebar hati saya apabila digandingkan dengan Emma Ma’embong dalam drama ini. Dia sudah ­terkenal dan banyak berlakon jika nak dibanding­kan dengan saya. Hari pertama dan kedua berasa kekok, mujurlah, Emma jenis yang tidak sombong dan merendah diri. Lantas dia yang banyak mengajar saya dan selepas beberapa hari, wujudlah keserasian antara kami berdua.

“Pengarah dan kru pun banyak membantu tetapi apabila saya lihat semula drama itu, banyak lagi kekurangan dan saya perlu banyak belajar lagi. Buat apa kerja pun tidak cukup dengan hanya minat, tetapi mesti perlu belajar, barulah boleh menjadi yang terbaik,” katanya.

Dalam SweetHeart Fantasia, Syarul pegang watak pengarah muda yang baru balik dari merantau bernama Jimmy Daeng bertemu dengan pelakon terkenal, Julia Jane (Emma).

Mengenali Syarul lebih rapat, dia bekas pelajar Kolej TAFE Seremban yang mengikuti jurusan Penyelenggaraan Aircraft.

“Tetapi apabila saya mohon kerja, syarikat berkenaan beri saya jawatan pentadbiran dan sudah tentu ia tidak sesuai dengan jurusan yang dipelajari serta ­bertentangan dengan minat. Waktu kerja pula dari jam 9 pagi hingga 5 petang, lagilah membosankan.

“Takkanlah saya nak buat kerja yang sama sehingga usia mencecah 40 tahun, lantas saya berhenti. Sekarang saya melanjutkan pengajian pering­kat ijazah di Universiti Sains Multimedia dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa.

“Saya bercita-cita mahu jadi ahli perniagaan dan pelakon Fizo Omar adalah contoh terbaik kerana dia beringat mengenai masa ­depannya dengan menceburi bidang perniagaan. Kerjaya lakonan mempunyai jangka hayat tertentu dan walaupun saya masih baru dalam bidang ini, saya perlu bersiap sedia,” kata­nya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berasal dari Kelantan, tetapi dilahirkan di Pahang. Selepas berlakon dalam Sweetheart Fantasia, Syarul terus ke lokasi drama sebanyak 30 episod, ­Berlima Ramadan yang akan disiarkan di RTM pada Ramadan tahun depan.

Dia juga mencuba bakat sebagai pengacara dalam program sukan ekstrem berjudul Impak Aksi yang bersiaran di Tvi.

“Impak Aksi dibuat sebanyak 13 episod, tetapi belum disiarkan lagi,” katanya.

-Metro online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");