Membawang Hari Ini

Tarikan bual bicara TV AlHijrah

tv alhijrah

Program perbincangan ilmu agama, isu semasa bantu perkukuh jenama

TV AlHijrah sememangnya semakin mendapat tempat di hati penonton negara ini, bukan sekadar kerana nilai hiburan yang bermanfaat dalam rancangan berbentuk drama siarannya, bahkan program berkonsep majalah, gaya hidup dan bual bicaranya juga turut meninggalkan kesan di hati khalayak.

Rancangan bual bicara sama ada bercorak interaktif atau sebaliknya, seperti 30 Minit Ustaz Don, Assalamualaikum, Bicara, Cinta Ilmu dan Khidmat Syariah umpamanya mempunyai tempat tersendiri di kalangan penggemar saluran terbabit. Pendekatan yang digunakan penerbit, pengacara mahupun seluruh tenaga produksi menghidangkan sajian berguna buat semua.

Muncul antara program paling popular di saluran ini, Ustaz Don atau Don Daniyal Don Biyajid, contohnya, lebih selesa menyalurkan ilmu buat penonton berdasarkan pengetahuan serta kemampuan yang ada pada diri sendiri. Bahkan menurut pengacara ini, dia sentiasa berpegang kepada pepatah ‘mengukur baju di badan sendiri, dalam menjalankan amanah mengendalikan program terbabit.

“Saya tahu ilmu saya tidak banyak. Justeru, jika ada persoalan yang saya tidak mampu jawab, saya akan berterus terang.

“Begitu juga jika kita membuka sesuatu topik pada setiap minggu, saya akan membiarkan orang yang mempunyai ilmu yang tinggi untuk memulakannya dulu, kemudian barulah saya akan memberikan pandangan berdasarkan penerangan serta maklumat diberikan itu,” kata Ustaz Don.

Fasa baru tahun depan

Program yang mula disiarkan sejak 2010 dan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 9.30 malam itu bakal memasuki fasa baru menjelang 2014.
“Apa yang boleh saya katakan, program ini akan melalui penambahbaikan tahun depan berkonsepkan ‘menyusuri kehidupan’.

“Ada dua segmen dalam program ini, iaitu pembelajaran tajwid dan fardu ain. Sebelum ini, ia disiarkan selama dua hari bagi setiap segmen. Namun, perubahan dilakukan tahun ini dengan menyiarkan sebuah segmen pada setiap minggu dengan segmen segmen kedua pada minggu berikutnya.

“Memandangkan program ini mengambil pendekatan memberi kefahaman dengan menjurus kepada ilmu praktikal, ia harus difahami dengan betul oleh penonton. Atas alasan itu setiap segmen disiarkan selama seminggu,” katanya.

Temui peminat selama sejam

Sementara itu, penerbitnya, Siti Hajar Nurul Ain, berkata program 30 Minit Ustaz Don akan melalui fasa penambahbaikan bermula 2014 dengan kepelbagaian topik yang menjurus kepada praktikal.

“Buat masa ini program ini masih mengekalkan durasi 30 minit. Selepas tiga tahun disiarkan, memang kami ada perancangan untuk menyiarkan program ini selama 60 minit, namun ada beberapa kekangan dari segi komitmen terutama hosnya, Ustaz Don.

“Begitupun, dalam tahun ini juga kami sudah mula membuat persediaan dengan membuat program rakaman 60 Minit Ustaz Don di luar lokasi yang akan disiarkan pada Jumaat dan Sabtu, bermula jam 9.30 malam,” katanya.

Assalamualaikum tarik generasi muda

Sebuah lagi rancangan utama di TV AlHijrah, Assalamualaikum, antara penerbitan terawal di stesen itu, iaitu sejak awal penubuhannya. Ia merangkumi perbicaraan semasa termasuk isu global yang turut mengalami beberapa perubahan tersendiri sepanjang siarannya bagi menepati cita rasa penonton masa kini.

Sedia maklum, program selama dua jam setiap Khamis hingga Ahad, bermula jam 8 pagi itu hanya ditonton sesetengah peringkat usia. Lalu, bermula tahun ini pendekatan lebih ringan diserapkan bagi menarik perhatian khalayak generasi muda, termasuk saudara baru.

Penerbitnya, Mohd Firdaus Ab Samad, berkata penambahbaikan dilakukan hasil maklum balas semua pihak.

“Sehingga hari ini, hampir 400 episod disiarkan dengan beberapa penambahbaikan sudah dilakukan. Pada awal siaran dulu, program ini hanya disiarkan tiga hari seminggu iaitu bermula Jumaat hingga Ahad. Namun, sejak pendekatan perbincangan bersama panel jemputan dilakukan dengan lebih ringan, ia mendapat sambutan baik. Sebab itu kami menambah siaran ini kepada empat hari bermula Khamis.

“Di samping itu, bagi menambahkan kepelbagaian topik, tujuh hos diperkenalkan tahun itu mengikut kepakaran bidang masing-masing. Antaranya Amin Idris, Azidah, Amie Sofia, Ustaz Taha, Ustazah Isfadiah, Dr Izhar dan Kevin Zahari,” katanya.

Menetapkan tujuh slot setiap hari, yang dibahagikan kepada dua skop dari aspek perniagaan dan pengisian produksi, Assalamualaikum mampu menguasai segala topik semasa untuk dibicarakan sekali gus menyentuh isu global.

Tambah Firdaus, kekuatan program itu terletak kepada tiga hos tetap yang akan membicara, mengupas dan menyimpul sesuatu isu dengan pendekatan berbeza.

Berat tetapi popular
Program Bicara menjadi segmen paling berat di TV AlHijrah dengan pelbagai perbincangan dan kupasan berkaitan isu semasa. Meskipun hanya mensasarkan golongan tertentu menyaksikannya seperti usia pertengahan, ahli politik, akademik dan eksekutif, namun ia masih tergolong antara program yang diminati di stesen itu.

Pengacaranya, Amin Idris, berkata pembabitannya di dalam program itu menguji kemampuannya berkaitan pelbagai isu semasa sama ada membabitkan negara sendiri mahupun peringkat global.

“Dalam memegang amanah mengendalikan program ini, saya harus memiliki ilmu yang tinggi dan pengetahuan luas. Itu cabaran yang tidak boleh saya lari. Meskipun berat amanah diberikan, namun kerana minat, keserasian itu semakin kuat dalam diri.

“Menariknya program ini, ia membicarakan mengenai isu semasa yang agak kontroversi seperti politik yang mengundang pemimpin politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Selain itu kami tidak lupa membicarakan isu luar negara, agama, ekonomi dan sosial budaya,” katanya.

Bicara disiarkan selama 60 minit setiap Isnin, jam 10 malam, dan ulangannya pada Jumaat, jam 11 malam.

Program pertama undang penonton

Cinta Ilmu pula antara program pertama TV Alhijrah yang mengundang penonton ke studio.

Bukan saja disiarkan secara langsung, program selama 45 minit dari jam 6.15 petang itu turut mengetengahkan interaksi bersama panel mengikut bidang masing-masing.

Penerbitnya, Sajed’Den Saddam Hassan, berkata kemunculan program pertama bersama penonton mendapat maklum balas sangat positif.

“Program bual bicara agama ini disiarkan tujuh hari seminggu dengan memperkenalkan empat panel dalam bidang masing-masing seperti Ustazah Isfadiah yang akan mengupas Fiqh Wanita, Ustaz Badlishah (Akidah dan Falsafah), Ustaz Harryanto Rizal (Figh Syariah) dan Dr Zulkifli Al Bakri (Tasawuf).

“Ia juga antara program terawal yang mengisi TV AlHijrah. Hingga kini Cinta Ilmu sudah memasuki musim keempat, dengan setiap musim mengandungi 26 episod.

“Tidak dinafikan, program ini mendapat maklum balas positif daripada masyarakat kerana ia mengajak penonton turut serta dalam perbincangan berkaitan agama,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");