TAIPING – Dua pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, di sini, semalam atas tuduhan membuat perakuan palsu bagi laporan pemeriksaan dua motosikal, 26 Julai tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Nazri Malek, 27, dari Kampung Seberang Tambang Badak, Alor Setar, Kedah dan Azis@Aziz Ismail, 52, dari Kampung Masjid Bukit Ketri, Kangar, Perlis mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mereka didakwa memalsukan perakuan dalam pemeriksaan terhadap dua motosikal yang dikehendaki di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebenarnya tidak memeriksa, menyelia dan meluluskan laporan tersebut.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 108(1)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 108(1)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 5, 000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang.
Ghim Siang kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen bagi kedu-dua tertuduh.
-Sinar harian