Berita Hari Ini

TLDM cadang miliki helikopter anti kapal selam

Laksamana-Tan-Sri-Abdul-Aziz-Jaafar

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk memperoleh helikopter anti kapal selam bagi meningkatkan keupayaan armada pasukan itu.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata ia juga bagi memastikan TLDM kekal relevan selari dengan arus pemodenan semasa.

“Sekurang-kurangnya enam pesawat anti kapal selam diperlukan bagi penubuhan satu skuadron.

“Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah akan dijadikan penempatan untuk penubuhan skuadron pesawat itu di mana dua kapal selam negara turut ditempatkan di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 25 tahun Jubli Perak Cawangan Udara TLDM di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Pangkalan TLDM Kota Kinabalu kini menempatkan dua kapal selam negara jenis Scorpene buatan Perancis iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, Cawangan Udara TLDM merancang untuk menubuhkan pusat latihan sendiri yang akan mengendalikan modul latihan berkaitan operasi penerbangan.

Katanya, penubuhan pusat latihan itu yang masih di peringkat perbincangan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun dan pusat itu akan ditempatkan di Pangkalan TLDM di sini.

“Pusat latihan itu akan mengendalikan modul latihan peralihan pesawat bagi juruterbang dan pegawai taktikal udara, kursus pengawal helikopter, kursus pegawai geladak penerbangan serta lain-lain kursus dan latihan,” katanya.

Katanya, penubuhan pusat latihan itu dapat melahirkan pasukan udara dan warga armada yang bersiap siaga bagi memenuhi keperluan TLDM dan negara.

Pada majlis itu, Abdul Aziz dianugerahkan sayap kehormat penerbangan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan di atas sumbangan dan jasa beliau dalam pembangunan dan pencapaian Cawangan Udara TLDM.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");