Membawang Hari Ini

Tolak filem ‘tangkap muat’

filem tangkap muat

Penerbit, pengarah disaran gembleng tenaga hasilkan produk bertaraf antarabangsa demi pengiktirafan MIPCOM 2015

Menghapuskan amalan kronisme, menghentikan budaya menawarkan watak kepada pelakon jelita demi melariskan filem dan mengkaji semula Skim Wajib Tayang menjadi antara usul dikemukakan karyawan seni pada sesi dialog bersama penggiat industri di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pada sesi dialog anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu, ramai pembikin filem termasuk karyawan veteran tampil memberi pandangan bagi menyelamatkan industri perfileman negara yang dikatakan makin goyah.

Antara tokoh yang melontarkan pelbagai idea pada forum itu ialah Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam; Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim dan pengarah filem seperti Datin Paduka Suhaimi Baba, Murali Abdullah dan Othman Hafsham.

Pada majlis sama, penggiat filem tempatan disaran bekerjasama menghasilkan filem antarabangsa dan bukannya karya ‘tangkap muat’ bagi memenuhi status negara kehormat bagi acara pasaran industri kandungan pelbagai platform terbesar di dunia, MIPCOM 2015.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Dr Rothiah Omar, berkata penggiat seni perlu menggembleng tenaga membangunkan sektor kandungan kreatif tempatan selain mencapai sasaran menghasilkan 2,000 jam kandungan kreatif untuk dieksport.

Contohi industri kreatif Korea
Rothiah turut membangkitkan isu kejatuhan industri perfileman tempatan dan Bajet 2014 yang tidak menyediakan peruntukan khusus untuk bidang kreatif, tidak seperti dana sebanyak RM100 juta yang diperoleh, dua tahun lalu.

“Kita lihat Korea, negara itu sudah melangkah jauh dengan produk kandungan kreatifnya menjadi antara yang dikenali di seluruh dunia. Kalau kita boleh bersama-sama, kita boleh meminta peruntukan tambahan daripada kerajaan. Jika mahu melangkah ke peringkat antarabangsa, kita memerlukan dana yang lebih banyak.

“Bukannya filem kita tidak mendapat sambutan, ramai negara Islam lain yang mahu mendapatkan kandungan kreatif kita untuk dijual di pasaran antarabangsa. Namun, kualiti filem kita tidak mencapai tahap pasaran antarabangsa.

“Jadi, selepas ini, saya memohon penerbit dan pengarah tempatan menghasilkan filem bertaraf antarabangsa,” katanya pada sesi dialog itu.

Turut hadir, Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dan ramai penggiat seni daripada pelbagai persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA); Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM); Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (PAPITA) dan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAPE).

Rothiah berkata, penerbit filem perlu meletakkan sasaran kutipan tiket lebih tinggi.

“Sekarang filem kita hanya mencapai kutipan tertinggi RM12 juta… Ia jumlah yang sedikit,” katanya sambil menambah FINAS sentiasa berusaha membantu industri perfileman meningkatkan pencapaian termasuk meneroka pasaran di Korea Selatan dan Jepun yang sudahpun dimulakan usahanya.

Antara idea dicerna pada sesi dialog bersama industri anjuran FINAS
* Menjadikan FINAS sebagai pusat sehenti dalam mengemukakan aduan cetak rompak.
* Mengupah tenaga kerja profesional dalam projek pembikinan filem.
* Menilai semula fungsi Astro First dengan cadangan filem disiarkan hendaklah selepas tempoh tiga hingga enam bulan ditayangkan di pawagam.
* Menyelitkan nilai kenegaraan dalam filem dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi walaupun di luar negara.
* Kawal kemasukan filem dari negara luar dan lebih mengutamakan penerbitan filem tempatan dengan mengenakan kuota filem asing.
* Mewujudkan Dana Pemasaran filem tempatan dengan peruntukan RM20 juta setahun.
* Menghapuskan duti hiburan.
* Filem tempatan perlu mempunyai sistem gred dan pawagam tidak boleh menayangkan dua filem gred A seminggu.
* Bajet tepat diperlukan dalam menghasilkan filem
* Meminda Akta FINAS mengikut perkembangan semasa selain insentif teknikal merangkumi digital.
* Skim Wajib Tayang dan prosedur pelaksanaan perlu dikaji semula.
* Mewujudkan sistem rating antara satu hingga tiga bintang bagi penarafan jumlah pawagam di bawah Skim Wajib Tayang
* Mendapatkan kerjasama semua syarikat media dengan pengurangan kos sebanyak 50 peratus bagi kos pengiklanan pada harga pukal.
* Mewajibkan pemamer menyiarkan dua trailer filem tempatan sebelum tayangan filem asing.
* Pinda peraturan rating Lembaga Penapisan Filem (LPF) supaya ia sekadar panduan tetapi tidak menyekat penonton membeli tiket.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");