Membawang Hari Ini

Wan Hanafi Su: Saya bukan nak glamor

wan

Pada usia 63 tahun, pelakon berkaliber Wan Hanafi Su masih aktif memenuhi undangan berlakon sama ada cabang seni drama, teater mahupun filem.

Bukan saja sebagai periuk nasi, bidang seni juga sudah menjadi darah dagingnya, sejak dulu.

Bagi anak kelahiran Besut, Terengganu yang mengagumi aktor Hollywood, Marlon Brando dan Al Pacino ini, dia akan terus berlakon selagi kesihatannya mengizinkan dan diterima peminat.

Bermula dengan watak pembantu dalam drama Panggung RTM berjudul Kalut pada 1978, Wan Hanafi Su yang juga pemegang Sijil Seni Kreatif dari Universiti Sains Malaysia terus tidak menoleh ke belakang lagi untuk menggilap bakat lakonan sedia ada.

Kehebatannya di pentas lakonan turut diiktiraf apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki TV Terbaik (Anak Pengayuh Beca) pada Anugerah Seri Angkasa 2005.

Terbaru, pelakon filem Bunohan dan Jogho ini dicalonkan dalam kategori Top 5, Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman pada Anugerah Skrin (ASK) 2013.

Dia turut terpalit kontroversi berlakon babak ranjang dengan Marsha Milan Londoh dalam filem Laga arahan Ismail Yaacob.

Selain Wan Hanafi Su, kategori itu turut menyaksikan persaingan sengit dengan barisan pelakon berpengalaman iaitu Datuk Rosyam Nor (Fatihah Untuk Abah), Faizal Hussein (Fatihah Untuk Abah) dan Sharnaaz Ahmad (Di bawah Langitmu).

Ikuti temubual Wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) bersama Wan Hanafi Su mengenai pencalonan dan harapannya pada ASK 2013 sekali gus perkembangan terkini karier seninya khusus untuk ruangan Verbatim minggu ini.

Pada masa sama, pelakon berkarakter ini turut berkongsi pandangannya mengenai bidang seni tanah air.

RAP: Adakah anda menaruh harapan tinggi untuk menang dalam kategori yang dicalonkan iaitu Pelakon Lelaki Terbaik Drama pada ASK 2013?

HANAFI: Kalah atau menang soal kedua kerana apa yang penting lakonan saya dalam drama itu dilihat dan dinilai oleh penonton dan barisan juri. Saya juga sudah buat yang terbaik mengikut kemampuan diri dan kini hanya serahkan pada ketentuan Tuhan.

RAP: Siapakah calon Top 5 dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama ASK 2013 yang memberikan saingan paling sengit pada anda?

HANAFI: Sebenarnya, saya pernah dicalonkan dua kali dalam ASK iaitu kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik sebelum ini. Berbanding calon lain yang disenaraikan dalam Top 5, saya melihat pelakon Faizal Hussein yang beri saingan sengit pada kategori utama ini. Kehebatannya sudah teruji dalam Bunohan dan saya tidak ralat jika dia yang menang kategori berkenaan.

RAP: Kenapa anda tertarik untuk berlakon watak Pak Hassan dalam naskhah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman?

HANAFI: Saya sudah kenal dengan karakter Pak Hassan sebelum cerita ini diangkat ke kaca TV lagi. Sebelum ini naskhah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman adalah projek teater Dewan Bahasa dan Pustaka dan pernah dipentaskan pengarah Sabri Yunus pada 1983. Hanya selepas 26 tahun, barulah cerita ini dijadikan drama TV untuk saluran Astro. Justeru, bila ditawarkan Sabri untuk berlakon watak Pak Hassan dalam di kaca TV, saya sukar untuk menolak peluang keemasan diberikan itu.

RAP: Boleh berkongsi cabaran bawa watak Pak Hassan dalam naskhah ini?

HANAFI: Saya turut berdepan dengan cabaran merealisasikan watak Pak Hassan yang hidup pada zaman penjajahan Jepun itu. Watak Pak Hassan juga berat kerana dia memiliki anak lelaki yang cacat dan anak perempuannya pula dirogol.

Lebih menarik, saya juga dikehendaki menyanyi lagu rebab untuk menjiwai watak Pak Hassan dalam cerita ini. Naskhah ini memang berat kerana ia juga percubaan saya merealisasikan watak Pak Hassan dari pentas ke medium TV.

RAP: Secara peribadi adakah anda berasa puas bawa watak Pak Hassan dalam drama itu?

HANAFI: Terus terang saya berasa puas dapat bawa watak Pak Hassan dalam drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman itu. Boleh saya katakan watak itu adalah ‘masterpiece’ sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

RAP: Bagaimana pula dengan projek drama baru ketika ini?

HANAFI: Setakat ini, tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang. Saya juga baru selesai penggambaran drama Air Mata Pak Dogol arahan Zain Ibrahim untuk RTM.

RAP: Selepas Bunohan, adakah anda terbabit dengan projek filem baru?

HANAFI: Selepas beraksi dalam filem inggeris, Prince Of City, saya akan berlakon dalam satu lagi projek filem Inggeris terbitan produksi dari Singapura. Setakat ini, ia masih dalam proses pra-produksi. Saya juga ditawarkan watak tukang gantung orang dalam filem berkenaan. Tidak ketinggalan, saya juga baru selesai penggambaran video klip untuk filem genre seram Penanggal bersama penyanyi Asmidar. Saya bawa watak peniup seruling dalam video klip berkenaan.

RAP: Bila sudah berlakon drama dan filem, ramai pelakon tidak berminat lagi untuk terbabit dengan pementasan teater? Komen anda?

HANAFI: Sama seperti drama dan filem, pentas teater adalah salah satu cabang seni yang sudah sebati dalam diri. Setiap kali ada kelapangan, pasti saya akan kembali mengubat rindu di pentas teater. Selepas pementasan Bangsawan Raja Indera Putera, saya terbabit dengan Teater Muzikal Islam yang memaparkan Kerajaan Umar Abdul Aziz yang dipentaskan pada 12 hingga 13 November lalu.

RAP: Selepas menang anugerah adakah anda lebih selektif dari segi watak ditawarkan?

HANAFI: Sudah menjadi cara saya, sejak dulu untuk melihat dari segi skrip dan watak yang ditawarkan terlebih dulu sebelum terima tawaran projek berkenaan. Saya juga tidak mahu terima tawaran berlakon kerana mengejar duit semata-mata.

Maklumlah, saya berlakon bersandarkan minat dan bukannya untuk mencari glamor dan populariti.

RAP: Sebagai pelakon berpengalaman luas pasti ada nasihat yang ingin anda kongsikan pada pelakon baru di luar sana?

HANAFI: Nasihat saya kepada pelakon baru supaya berikan yang terbaik pada watak yang diberikan sama ada watak utama atau pembantu. Jangan sia-siakan peluang yang diberikan pengarah pada anda untuk bermain dengan watak itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");