Membawang Hari Ini

Yusof nafi tahu

KL DriftISU filem KL Gangster 2 yang bocor di internet meraih perhatian sekali lagi apabila dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu dikatakan sudah dikenalpasti.

Hal itu disebut menerusi ruangan gosip sebuah akhbar tempatan. Bagaimanapun, dakwa penulis gosip itu, tiada sebarang tindakan yang dibuat ke atas dalang tersebut.

Gosip itu juga menegaskan, sebelum ini Datuk Yusof Haslam sendiri beria-ia mahu mengambil tindakan saman ke atas dalang yang menyebarkan filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu.

Malangnya, setelah dalang terbabit dikenalpasti, Yusof sekadar mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Kosmo! menghubungi Yusof sendiri untuk mendapat maklum balas sebenar berhubung perkara tersebut. Ternyata, penerbit filem terkenal itu terkejut mengenai perkara itu.

Tegasnya, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklumat mengenai dalang yang menyebarkan filem tersebut.

“Saya tidak tahu-menahu langsung mengenai sudah ada tangkapan dibuat atau tidak.

“Saya masih menunggu hasil siasatan dan masih belum menerima sebarang jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung penyebaran filem berkenaan,” ulasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Tidak mahu mencampuri urusan siasatan tersebut, jelas Yusof, bila sudah ada dakwaan ke atas individu terbabit pihaknya pasti ke hadapan untuk mengambil tindakan.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambilnya, kata Yusof, kemungkinan dia akan melantik peguam.

“Kalau dalang itu sudah ditangkap, pihak saya akan ambil tindakan susulan. Mungkin pihak kami akan melantik peguam,” ujarnya yang nyata masih kecewa kerana KL Gangster 2 mengalami kerugian.

Ditanya adakah dia terkilan kerana dalang tersebut masih belum ditangkap sehingga kini, luah Yusof, dia tidak terkilan asalkan ada tindakan untuk mengenalpasti dan menangkap dalang terbabit.

“Saya tidak pertikaikan berapa lama masa diambil untuk tangkap dalang tersebut. Harap pihak berwajib tidak diamkan perkara ini. Ada tindakan lanjut dan terperinci kerana ia bukan membabitkan seorang tetapi pelbagai pihak.

“Sesiapa yang berada di tempat saya sekarang pasti kecewa. Biarpun KL Gangster 2 berjaya kutip RM5 juta tetapi masih menanggung kerugian,” ujarnya mengenai filem yang menelan belanja RM4.5 juta itu.

Mengulas lanjut, ungkap Yusof, filemnya itu bukan sahaja dimuat naik secara haram dalam internet tetapi juga dijual secara cetak rompak di seluruh Malaysia.

Jelas Yusof lagi, dia juga tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana tidak mahu menganggu siasatan pihak berwajib.

KL Gangster 2 menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Aaron Aziz, Zizan Razak, Sofi Jikan, Sheera Iskandar, Adi Putra dan Syamsul Yusof. Filem tersebut mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 3 Oktober lalu.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");