Sukan Hari Ini

Zairo Anuar idam kejuaraan kedua

zairo

13 tahun tanpa sebarang kejuaraan cukup memeritkan bagi Zairo Anuar Zalani apatah lagi usianya kini mencecah 31 tahun dan dilihat berada pada penghujung kariernya selaku pemain bola sepak.

Justeru, pemain The Red Warriors itu mahu menjadikan pentas final Piala Malaysia, 3 November ini sebagai medan untuk merangkul kejuaraan peribadi keduanya setelah kali terakhir menjulang trofi bersama Terengganu.

Menurutnya, ini merupakan penampilan keduanya beraksi dalam pentas final Piala Malaysia di mana kali terakhir ialah pada tahun 2001 ketika bersama negeri kelahirannya, Terengganu yang menewaskan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ini merupakan final pertama saya bersama Kelantan sejak menyarung jersi pasukan ini pada musim ini. Insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik untuk memastikan Piala Malaysia kekal di bumi Kelantan.

“Selepas merangkul Piala FA Jun lalu, saya fikir kami tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan membenarkan Piala Malaysia ini jatuh ke tangan pasukan lain. Kami perlu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim lalu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tegas bekas pemain T-Team musim 2011 hingga 2012 itu, pasukannya jelas mempunyai kelebihan berbanding Pahang untuk mempertahankan kejuaraan berdasarkan pengalaman beraksi tiga kali di pentas perlawanan akhir sejak lima tahun lalu.

“Saya lihat Pahang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi tetapi Kelantan juga memiliki barisan pemain yang jauh lebih bagus daripada mereka. Malah semangat penyokong kami lebih membara berbanding penyokong lawan,” katanya.

Zairo Anuar yang menjaringkan satu gol dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini cukup yakin beliau mampu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan jurulatihnya, Bojan Hodak.

“Beraksi di pentas final memang menjadi impian mana-mana pemain bola sepak. Saya percaya sudah tiba masanya untuk buktikan kehadiran saya bersama Kelantan pada musim ini bukan sekadar pelengkap pasukan semata-mata,” katanya.

Malah ujarnya lagi, beliau semakin serasi bergandingan dengan Mohd Badhri Radzi, Mohd Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin dan memberi amaran jentera tengah Pahang tidak akan sewenang-wenangnya mampu menguasai posisi tersebut pada pertemuan dua jaguh pantai timur di Stadium Shah Alam, nanti.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");