SENAI – Jabatan Imigresen negeri menahan 13 warga asing dalam tiga serbuan yang dilakukan di Masai, Taman Universiti dan Taman Ungku Tun Aminah, kelmarin.
Mereka yang ditahan berusia 17 hingga 41 tahun itu terdiri daripada dua orang warga Filipina, Myanmar (4), India (1), Pakistan (1) dan lima orang warga Vietnam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Sapian Kamaruddin berkata, operasi disertai 15 anggota dan pegawai setelah mendapat maklumat orang ramai dan risikan.
“Serbuan pertama dibuat di sebuah kedai makan yang dinamakan Ops Selera Masai dengan lapan individu telah diperiksa dan dua lelaki Filipina telah ditahan. Turut ditahan seorang pemilik premis yang berumur 78 tahun kerana Seksyen 55B Akta Imigresen
1959/1963 mengambil pekerja asing secara tidak sah.
“Serbuan kedua turut dilakukan di sebuah kedai makan yang dinamakan Ops selera Taman Universiti dengan lapan individu telah diperiksa. Lima lelaki dan seorang wanita iaitu empat orang warga Myanmar, seorang warga India dan seorang warga Pakistan telah ditahan.
“Untuk serbuan ketiga yang dinamakan Ops Sayang Taman Ungku Tun Aminah melibatkan sebuah pusat hiburan dengan sembilan orang telah diperiksa.
“Dalam serbuan berkenaan, selain lima wanita warga Vietnam, kita turut menahan seorang penjaga premis yang juga orang tempatan berusia 19 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal dalam premis yang diselia dan diurus mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sapian berkata, kesemua rakyat asing itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39B Peraturan-peraturan Imigresen.
-SinarHarian-
http://www.sinarharian.com.my/13-warga-asing-ditahan-imigresen-1.228279