Membawang Hari Ini

Ariana Rose nanti peminat

filem melayu

Drama bersiri diangkat daripada novel terlaris, The Wedding Breaker isi slot Akasia di TV3 malam ini

Mencipta fenomena tersendiri, slot Akasia yang disiarkan TV3 kembali dengan drama rantaian terbaru berjudul Ariana Rose yang diangkat daripada novel terlaris, The Wedding Breaker.

Drama bersiri dibintangi Keith Foo, Nur Fathia, Tasha Shilla dan Nabila Huda menyajikan kisah kekeluargaan dan percintaan yang mengheret kepada konflik serta dilema sehingga mengundang kejadian tidak disangka-sangka.

Kisahnya bermula apabila watak utama drama ini, Ariana yang dilakonkan Nur Fathia bersetuju membantu sahabat baiknya, Tengku Juwita (lakonan Tasha) menyamar sebagai kekasih kepada bakal suami kawan baiknya itu. Taktik itu dilakukan dalam usaha menggagalkan perkahwinan yang dirancang antara keluarga kedua-dua belah pihak.

Malah, Ariana sanggup mengaku dia sedang mengandung anak Tengku Adam (Keith) iaitu bakal suami rakannya pada hari pernikahan mereka. Ini semata-mata bagi memastikan Tengku Juwita tidak mengahwini lelaki yang terkenal dengan sikap kaki perempuan.

Biarpun berjaya membatalkan perkahwinan itu, tindakan Ariana menyebabkan satu demi satu konflik berlaku termasuk yang menjejaskan reputasi keluarga ternama itu. Lebih dramatik, Ariana Rose menjadi korban dan mangsa rogol Tengku Adam.

Kisah tragik dalam drama itu bakal dirungkai dalam 28 episod yang mula ditayangkan, malam ini. Drama bersiri Ariana Rose diarah Raja Alauddin Shah manakala skripnya ditulis Sofia Rhyland.
Menyedari sambutan baik terhadap novel The Wedding Breaker karya Evelyn Rose yang memiliki pengikut fanatiknya sendiri, pengarah, penerbit dan pelakon drama bersiri ini mula risau menunggu maklum balas peminat.

Nur Fathia mengakui dia mendapat pelbagai maklum balas daripada pembaca setia novel itu yang mahu lakonannya memenuhi setiap kriteria watak Ariana Rose seperti dalam novel termasuk cara penampilan.

“Bayangkan, ada satu babak di mana Fathia pergi mencari dan membeli baju warna kuning seperti dalam novel. Ini kerana pembaca sudah meminta pastikan watak ini mengenakan pakaian yang ditulis dalam novel berkenaan,” katanya yang teruja melakonkan watak Ariana yang memerlukannya ‘bermain’ emosi.

Nur Fathia berkata, biarpun mengakui tertekan, komen dan pandangan pembaca setia novel terbabit membantunya menjayakan watak Ariana.

Dalam perkembangan lain, diusik soal hubungannya dengan pelakon Aiman Hakim Ridza, Fathia hanya meminta peminat mendoakan mereka bertemu jodoh. Ternyata, gadis ini enggan mengulas lanjut biarpun didesak beberapa kali.

Aktres berkulit cerah itu, memberitahu dia berazam memastikan pengajiannya dalam bidang undang-undang dapat dihabiskan menjelang akhir tahun depan, selepas tertangguh sebelum ini.

Keith risau reaksi peminat

Keith yang memegang watak Tengku Adam mengaku gementar menanti reaksi penonton. Ini kerana bimbang tidak memenuhi kehendak penonton membawakan watak terbabit.

“Saya sudah berikan yang terbaik… Saya harap penonton akan menggemarinya,” katanya yang mengakui sedang bahagia dengan seorang wanita yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu.

Keith yang sebelum ini mencipta nama di Indonesia menerusi siri sinetron terbitan produksi negara itu berkata, dia masih menerima tawaran dari Indonesia. Namun, dia perlu menyusun jadual bagi memastikan dapat memberikan komitmen terbaik.

“Saya selesa di Malaysia dan senang di Indonesia. Walaupun menetap di Malaysia, saya tetap berhubungan baik dengan produksi yang masih memberikan tawaran dan memahami keadaan saya,” katanya yang kagum dengan peralatan produksi di negara ini yang lebih canggih.

Sementara itu, penerbit drama Ariana Rose, Ziela Jalil berkata, pihak produksi berusaha sebaik mungkin bagi memastikan penonton terutama pembaca setia novel The Wedding Breaker berpuas hati dengan jalan cerita dipaparkan.

“Sambutannya sangat mengejutkan. Pada peringkat awal, kita sudah menerima pelbagai pandangan. Malah, kita cuba sebaik mungkin termasuk menjalankan penggambaran di London seperti jalan cerita dalam novel itu,” katanya sambil menambah akaun khas Facebook Ariana Rose sudah dibuka dan mencatat 8,000 ahli setakat ini.

Ziela berkata, drama bersiri terbaru itu tidak mempunyai suntingan babak tetapi beberapa penambahan dibuat bagi menyesuaikannya dengan jalan cerita sebuah produksi drama.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");