Berita Hari Ini

Cadangan Tubuh Jawatankuasa Tiga Pihak Selia Pelaksanaan Gaji Minimum Diteliti – Riot

RICHARD

KUCHING: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot pada Sabtu berkata kertas kabinet mengenai cadangan menubuhkan jawatankuasa tiga pihak bagi menyelia pelaksanaan gaji minimum di 72 pejabat Tenaga Manusia di seluruh negara hanya boleh disediakan atas persetujuan kementerian dan Majlis Perundingan Gaji Negara.

Beliau berkata kesemua agensi kementerian termasuk Jabatan Perhubungan Industri (JPPM) diminta bersedia berdepan impak pelaksanaan gaji minimum yang akan dikuat kuasakan menjelang 1 Jan 2014 terutama dalam suku pertama tahun depan.

“Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, majikan dan wakil pekerja, adalah suatu perkara yang baik kerana sebagai sebuah negara besar, adalah lebih baik untuk mempunyai jawatankuasa lebih kecil bagi menangani kes-kes secara berperingkat.

“Saya perlu membawa perkara ini terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan persidangan pengarah-pengarah JPPM di sini.

Semalam, naib presiden MTUC A. Balasubramaniam berkata jawatankuasa itu perlu berperanan sebagai pusat sehenti untuk menyelesaikan aduan pekerja tempatan dan asing.

Riot berkata kementeriannya, yang sudah menerima sejumlah aduan dari para majikan yang tidak dapat membayar gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sarawak, Sabah and Labuan, akan mengkaji semula pelaksanaan selepas mengkaji impaknya ke atas semua sektor secara menyeluruh.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan hasil positif pelaksanaan itu yang merupakan sebahagian daripada program transformasi ekonomi kerajaan bagi menjana ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Terdahulu, beliau memuji jabatan di Sarawak atas kecekapan dan peranannya mengekalkan keharmonian industri bagi menghasilkan situasi menang-menang yang menyaksikan pengurusan Sanmina Corporation (M) Sdn Bhd membayar RM2.8 juta sebagai pampasan kepada 876 pekerja yang diberhentikan beberapa bulan lalu.

Beliau berkata impak krisis ekonomi global memaksa beberapa syarikat multinasional mengambil langkah drastik dengan menutup perniagaan mereka di negara ini bagi mengurangkan kos operasi.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai 14 juta tenaga kerja dengan hampir 800 kesatuan sekerja termasuk 1.1 juta pekerja di Sarawak, katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");