Membawang Hari Ini

Cinta Zahiril, Saleha

zahiril dan saleha

Khazinatul Asrar, seorang gadis cantik yang sangat mementingkan ajaran agama dan mengutamakan pelajaran berbanding percintaan.

Tidak seperti gadis lain Khazinatul Asrar rela mengetepikan soal cinta sesama manusia demi cintanya terhadap agama. Namun tanpa disedari, dia digilai rakan sekelasnya serta menjadi rebutan antara Mukhlisin dan Asraf.

Begitulah sebahagian dari kisah drama terbaharu, Aku Ada Wali yang memperlihatkan gandingan dua pelakon handalan iaitu Zahiril Adzim dan Siti Saleha.

Drama 13 episod ini akan ditayangkan pada 14 Januari di saluran TV Alhijrah, setiap hari Selasa, jam 10 malam.

Selain Zahiril dan Saleha, drama ini juga menampilkan Aida Jebat, Zoey Rahman, Sabhi Sadhi dan ramai lagi.

Kisah percintaan tiga segi itu juga menyelitkan tema Islamik yang menyampaikan dakwah Islam melalui beberapa cara yang tersendiri.

Menariknya mengenai drama ini, 80 peratus lokasi penggambaran dilakukan di sekitar Seoul dan Busan, Korea Selatan.

Serasi bersama

Selain konflik percintaan, Aku Ada Wali menyajikan pelbagai panorama menarik di negara tersebut ketika musim sejuk.

Biarpun pertama kali digandingkan bersama, ternyata kedua pelakon ini serasi berlakon bersama. Malah, mereka banyak berbincang untuk menghasilkan lakonan yang berkesan.

Pengalaman  yang tak dapat dilupakan apabila berada jauh di perantauan antaranya adalah mereka menghadapi pelbagai kesukaran seperti cuaca yang agak sejuk, makanan halal, menghafal surah tertentu dan sebagainya.

Namun demi tugas, sama ada Zahiril mahupun Saleha, mereka sanggup mengetepikan kekangan itu agar dapat melakukan yang terbaiknya demi peminat mereka.

“Alhamdulillah, biarpun di duga dengan pelbagai dugaan, kami tetap cuba memberikan yang terbaik dan saya berharap semua penonton akan berpuas hati dengan hasil lakonan kami nanti,” ujar Zahiril.

Timba ilmu agama: Zahiril

Bercerita mengenai pengalaman dalam drama ini, Zahiril berkata, dia memegang watak budak nakal iaitu Naim yang jatuh cinta dengan peribadi Khazinatul (Saleha) yang sopan dan berhijab.

Namun cintanya ditolak gadis itu kerana sikapnya yang agak kasar dan menggunakan kaedah yang tidak mengikut landasan yang sepatutnya.

“Mungkin penonton fikir drama ini satu naskhah serius walhal ia sangat santai dan komedi.

“Walaupun saya tidak melontarkan kata-kata lucu sebaliknya perbuatan Naim sudah menggambarkan sikapnya yang nakal,” kata suami kepada Shera Ayob ini.

Tambah Zahiril, kekangan terbesar baginya dalam drama itu adalah menghafal surah dan sunnah yang memerlukan pemahaman yang sempurna.

“Tetapi dalam masa yang sama ia mengajar saya banyak perkara mengenai Islam sendiri.

“Lagipun banyak benda yang saya tidak tahu. Setelah berlakon dalam drama ini secara tidak langsung saya belajar sesuatu yang sangat berguna,” katanya.

Dalam perkembangan semasa, Zahiril berkata, dia kini semakin sibuk dengan tawaran lakonan yang tidak pernah putus.

“Alhamdulillah rezeki anak dan saya tidak pernah menolak mana-mana tawaran lagi.

“Tahun 2014, jadual sudah banyak yang penuh apatah lagi dengan penggambaran filem terbaharu iaitu Juvana 2 dan Juvana 3.

“Terdapat juga tawaran lakonan dari Singapura namun saya belum memutuskan lagi sama ada menerima atau tidak,” jelasnya.

Masalah pemakanan – Saleha

Sementara itu, pelakon berwajah Pan Asia dan juga adik kepada penyanyi Sam Bunkface iaitu Siti Saleha menceritakan pengalamannya sepanjang 40 hari penggambaran di kota Metropolitan, Korea Selatan itu.

Memegang watak gadis yang berhijab dan memimpin pelajar Malaysia di sana, Saleha berkata, ia satu pengalaman yang menyeronokkan walaupun agak letih di awal penggambaran.

Biarpun ia merupakan kali kedua menjejakkan kaki ke negara itu, Saleha berkata, dia berhadapan dengan satu masalah dari segi pemakanan kerana tidak gemar akan makanan wajib Korea iaitu kimchi.

“Bagi saya, cuaca sejuk tiada masalah. Begitu juga menghafal surah-surah setiap hari.

“Tetapi saya kalah dengan satu perkara, kimchi…,” katanya sambil ketawa.

Namun bagi Saleha, terdapat juga makanan alternatif lain seperti makan laut dan masakan Malaysia di sana.

“Jika orang lain, pasti mereka akan mencubanya sebaik sahaja mendarat di sana namun tekak saya tetap tidak dapat menerima makanan ini.

“Selain kimchi, pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah melakukan penggambaran di tepi pantai pada musim sejuk.

“Bayangkan dalam cuaca sejuk dan pantai yang berangin kami terpaksa menahan kesejukan demi panorama yang cantik.

“Itulah antara pengorbanan kami yang agak sukar namun seronok,” katanya.

Dalam pada itu,Saleha berkata selepas drama tersebut dia semakin sibuk dengan filem terbaharu seperti Supertele dan Cerita Cinta yang akan ditayangkan pada Januari ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");