Membawang Hari Ini

Danial miliki kehebatan tersendiri

daniel

Malam yang gemilang dan kekal dalam lipatan sejarah hidup Danial Cheur Hamasiah, 12, apabila diumumkan sebagai Juara Idola Kecil musim keenam (IK6), menerusi pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic dan turut disiarkan secara langsung menerusi TV9, malam Sabtu lalu.

Kemenangannya memang menepati ramalan ramai kerana peserta dari Tawau, Sabah ini mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga berjaya memukau penonton serta barisan juri iaitu juri tetap, Tomok dan juri jemputan, Noh (Hujan) dan Syafinaz Selamat.

Suasana di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam sememangnya penuh sesak dibanjiri peminat setia program nyanyian kanak-kanak paling popular ini. Tidak ketinggalan hadir ialah ibu bapa dan sanak saudara serta pe­nyokong yang hadir dengan kain rentang sebagai tanda sokongan.

Danial yang menyampaikan lagu baru, Memori ciptaan sepenuhnya Nik Nabil dan When I Was Your Man yang dipopularkan Bruno Mars yang juga lagu pilihan ibunya (Mother’s Choice), menerima hadiah wang tunai RM15,000 sumbangan TV9 dan trofi Idola Kecil 6.

Dia bersaing hebat de­ngan Aby Norlila Kamaruddin (Aby), 12, yang menduduki tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 serta trofi Idola Kecil 6,manakala tempat ketiga diraih oleh Ammierul Daneal Eddy Noor (Dani), 12, yang memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi Idola Kecil 6.

Aby menyanyikan lagu baru, Heartbreak ciptaan AG Coco dan lirik oleh Leo Azman manakala lagu pilihan ibunya ialah Matahariku (Agnes Monica). Dani pula menyampaikan lagu baru, Bangkit (Amir Jahari & AG Coco/ Amir Jahari) dan lagu Bahagiamu Deritaku (Hafiz Suip).

Deraian air mata me­ngiringi kemenangan Danial yang dibuat secara gimik dengan band yang dipimpin AG Coco memainkan lagu nyanyiannya. Pengumuman ini disambut de­ngan tepukan bergemuruh daripada penyokongnya yang hadir memenuhi auditorium.

Dua lagi peserta akhir ialah Shafiqah Amira Shukor (Eeqah), 12, dan Nor Alleyya Nor Edwan, 10.

Mengulas kemenangannya, bakal pelajar Sekolah Seni Shah Alam ini me­ngakui tidak menyangka kemenangannya itu kerana saingan yang diberikan Aby begitu hebat sejak konsert pertama lagi. Bagaimanapun, dia melakukan sebaik mungkin dan bersyukur dengan kemenangan berkenaan.

“Saya ingat Aby yang akan jadi pemenang dan terkejut apabila lagu saya dimainkan. Saya gembira kerana menerusi pertandingan ini, saya ba­nyak belajar ilmu dalam bidang seni antaranya tarian, vokal dan susunan muzik. Saya aktif dalam seni sejak usia empat tahun lagi.

“Inilah kali pertama saya masuk bertanding dalam IK dan seterusnya muncul pemenang. Saya merancang untuk meneruskan perjua­ngan saya dalam bidang nya­nyian kerana amat berminat untuk jadi penyanyi. Wang kemena­ngan pula akan disimpan bagi kegunaan masa depan saya,” katanya yang me­ngambil masa sekitar lima hari untuk menghafal lagu baru.

Aby pula tetap berpuas hati menduduki tempat kedua. Katanya, sejak awal pertandingan, dia sudah melihat Danial mempunyai vokal yang mantap.

“Saya tetap bersyukur dengan apa yang dicapai. Sebelum ini, saya sudah tiga kali mencuba untuk menjadi peserta IK dan kali ini barulah tercapai. Alhamdulillah, saya berjaya juga,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Dani yang sudah mencuba beberapa kali dalam IK dan dia tetap berpuashati menduduki tempat ketiga.

Penerbit eksekutif, Kamarul Zamli Ramly (KZR) menjelaskan pihaknya sudah merancang pelbagai agenda antaranya menerbitkan dua program untuk hari raya membabitkan lima finalis ini. Bahkan peserta lain yang tersingkir juga akan terbabit sama.

Penerbit IK 6, Kamarul Zariman Abd Rahman, mengakui berpuas hati dengan kualiti ditunjukkan semua peserta dan dia beruntung kerana semuanya berbakat.

“Ini sekali gus memudahkan lagi kerja saya. Selain itu, saya juga kagum dengan semua yang terbabit termasuk kru penerbitan kerana memberikan hasil terbaik dalam produksi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar TV9, Zurina Othman memberitahu, IK6 mendapat sambutan hebat daripada penonton dan mencecah purata penonton sejuta orang setiap minggu.

“Saya nampak pening­katan dari segala segi berbanding tahun sebelumnya. Bahkan ini adalah IK yang terbaik. Selepas ini kami bercadang nak buat pula Idola Kecil All Stars pula pada pertengahan 2014. Barisan pesertanya masih dikenal pasti dan kami akan buka undian kepada peminat untuk memilih mereka,” katanya.

Ibu bapa Danial, Fasumah Japar, 48, dan Chuer Niang, 57, yang turut hadir dari Tawau, mengakui gembira dan bersyukur dengan kemenangan diraih anak­nya. Mereka sanggup bergilir-gilir datang untuk memberikan sokongan terhadap anak bongsu daripada empat adik beradik ini.

“Kami lihat dia memang meminati seni sejak kecil lagi. Keyakinan dirinya juga amat tinggi ketika bertanding dalam program ini. Danial tak pernah berpisah dengan kami sebelum ini, tapi untuk masuk IK6, dia sanggup berbuat demikian. Bahkan kami juga merestui pilihannya untuk masuk Sekolah Seni Shah Alam pada 2014.

“Kami juga benarkan dia rakam single dan aktif dalam seni dengan syarat tak lupakan pelajaran. Danial pandai main piano dan keyboard dan menyanyikan lagu Whitney Houston dan Jac untuk asah vokalnya. Dia mempunyai kekuatan vokal tersendiri,” kata ibu­nya.

Bapanya mengakui bakat seni yang ada pada­nya mengalir pada Danial kerana dia aktif bermain muzik dan menyanyi di kelab sekitar Tawau.

“Danial tak malu setiap kali beraksi dan keyakinan dirinya sangat tinggi. Saya harap dia boleh diterima masuk dalam industri seni nanti,” katanya.

Menyorot konsert akhir IK6, kesemua peserta terutama Danial memberikan persembahan yang mantap dan sering menerima pujian daripada barisan juri.

Selepas persembahan terakhirnya menerusi lagu Memori, dia menerima komen yang baik daripada juri.

Noh menyifatkan dia seorang penyanyi yang bagus dan hebat. Syafinaz pula memberitahu dia sudah bekerja dengan ramai kanak-kanak menerusi Kumpulan Koir Permata Seni yang digilapnya, namun mengakui kehebatan yang dimiliki Danial.

Tomok tanpa ragu-ragu berkata, sebelah kaki Danial sudah berada di garisan juara IK6.

Pentas akhir yang diacarakan Alif Satar itu turut diserikan dengan persembahan daripada Joe Flizzow, kumpulan Hujan dan kumpulan tarian Elecoldxhot.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");