Sukan Hari Ini

Darah seni aset Hairul Faizal

hairul

KEMAHIRAN inovatif dan kreatif membolehkan pengasas pusat salon kenderaan, Creative Makeover, Hairul Faizal Hussain, 38, mampu berdaya saing dalam perniagaan diusahakannya.

Dengan dua cawangan Creative Makeover iaitu di Lebuh Raya Persekutuan Batu 3 dan Subang Permai, Shah Alam, Hairul Faizal berkata, apa dicapainya hari ini bermula dengan usaha daripada bawah. Sehingga kini, beliau telah melalui lebih 18 tahun pengalaman dalam ‘makeover’ automotif.

“Sejak kecil lagi, saya telah belajar berniaga dengan menjual nasi lemak yang dibuat oleh ibu saya semasa bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi Johor. Hampir setiap pagi saya jual nasi lemak dan beberapa jenis kerepek di warung kawasan di tempat tinggal.

“Saya jual setiap pagi sebelum ke sekolah sehingga masuk ke Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi dalam tingkatan empat. Mungkin asas cabaran itulah yang menguatkan saya untuk berniaga mengubah kehidupan keluarga ke arah lebih baik.

“Malahan, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis, 9 per 10 rezeki ada dalam perniagaan,” katanya yang ditemui di premisnya di Pusat Perdagangan Subang Permai.

Menarik mengenai Hairul Faizal, darah seni semula jadi juga mengalir dalam dirinya.

“Saya memang gemar melukis sejak kecil lagi. Antara menjadi kemahiran saya ialah melukis potret. Sehingga kini saya sudah ada banyak koleksi.

“Selain itu, saya juga boleh membuat arca. Saya harap suatu hari nanti saya dapat buat galeri seni,” katanya.

Kerja kedai papan iklan

Menceritakan sejarah penglibatannya dalam bidang berkenaan, anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, beliau pernah bekerja makan gaji sebagai pengurus di kedai membuat papan iklan sekitar tahun 1996 sehingga 1998.

Selepas itu, Hairul Faizal menjalankan perniagaan membuat papan iklan sendiri namun dihentikan sehingga pada tahun 2006, selepas premis perniagaannya di Kota Tinggi ketika itu tenggelam akibat dilanda banjir menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian.

Tiap kejadian ada hikmahnya ditambah dengan sikap tidak kenal erti putus asa, berbekalkan idea baru dan kemahiran seni yang ada, beliau nekad berhijrah ke Lembah Klang memulakan perniagaan baru, iaitu membuka pusat kecantikan kenderaan, Creative Makeover.

“Pada mulanya saya hanya menyewa premis kecil di Kota Damansara. Tidur pun di bengkel itu. Isteri dan anak-anak juga terpaksa ditinggalkan lebih lima bulan di Kota Tinggi sebelum perniagaan baru saya ketika itu stabil dan mendapat tempat tinggal tetap.

“Itu antara pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Pada peringkat awal pun, saya hanya buat motosikal kawan-kawan terdekat, namun alhamdulillah hasil kerja saya selepas itu semakin dikenali selain bantuan melalui sebaran di media.

“Bagi saya hidup tidak perlu gentar melangkah dan jangan menunggu atau takut. Perlu berani dan melangkah ke arah sasaran, baru kita boleh sampai (sasaran),” katanya.

Dengan pengalaman dan bakatnya, Hairul Faizal berkata, beliau mengadaptasi kemahiran mengecat dan membuat pelekat papan iklan, untuk mentransformasikan wajah kenderaan, motosikal atau kereta dengan teknik menggunakan pelekat dan airbrush (semburan angin).

Minat berlumba motosikal

Bukan sahaja berniaga, bapa kepada empat anak berusia 17, 10, 3 tahun dan 3 bulan ini bijak membahagikan masanya menceburi bidang perlumbaan motosikal.

Bermula dengan hanya suka-suka untuk berlumba motosikal di Litar Sepang pada tahun 2011, Hairul Faizal mula serius berlumba pada 2012, dengan motosikal Yamaha R1, 1000 cc.

Terbaru, beliau mendapat tempat pertama (Race 2) Malaysian Super Series 2013, Superstock B, melibatkan lima pusingan, juara keseluruhan Creative Makeover Racing Team.

“Pencapaian terbaik adalah pada tahun pertama kategori Individu, saya mendapat tempat ketujuh daripada 21 pelumba di Sepang, 2013, dalam Creative Makeover Racing Team. Jika perlumbaan biasa memang telah banyak saya sertai dan menang.

“Namun dalam bidang perlumbaan, saya belum puas selagi belum mencapai sasaran iaitu berdiri di podium, untuk mendapat top 3, Malaysian Super Series 2014,” katanya.

Ditanya, sama ada keluarganya bimbang dengan penglibatannya dalam sukan permotoran itu, Hairul Faizal berkata, beliau tidak mendapat halangan malahan sokongan positif turut diberikan isterinya, Noorazila Othman.

Selain itu, diminta membuat pilihan sama ada berlumba atau berniaga lebih dititikberatkannya, katanya kedua-duanya sama penting dan akan diseimbangkan sebaiknya.

Tiada tempat berlumba

Seiring penglibatannya dalam bidang berkaitan, beliau mencadangkan pihak berkenaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan menyediakan litar permotoran dengan harga mesra rakyat khususnya untuk golongan belia.

“Jika kita lihat, gejala seperti lumba haram dan merempit hari ini amat membimbangkan sekali gus membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Gejala ini juga beri imej negatif pada penunggang motosikal lain.

“Jadi diharap beri peluang kepada golongan terbabit dengan menyediakan lokasi litar dengan harga mesra rakyat itu. Tambahan pula dengan litar sedia ada masih belum mencukupi,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");