KOTA BHARU – Seorang tukang bersih kubur mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengugut bapanya dengan pisau, bulan lalu.
Mohd Anas Idris, 30, dituduh mengacukan pisau terhadap Idris Hussin, 76, dengan niat menyebabkan ketakutan kepada mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Chicha Lundang, di sini.
Kejadian berlaku pada jam 7 pagi, 29 November. Pada prosiding itu, dia bagaimanapun menafikannya dan rela jika bapanya dipanggil untuk memberi keterangan.
Tuduhan terhadapnya dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Susulan penafian itu, Majistret, Nik Habri Muhamad menangguhkan kes pada 30 Disember ini.
Sementara itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bersyarat jaminan tersebut dibuat oleh ibu, bapa atau adik-beradik tertuduh sahaja.
-Sinar harian