Jenayah

Dua anak lelaki nyaris rentung

nyaris rentung

KOTA BHARU – Walaupun hilang semua harta benda dan kini menumpang di rumah orang tuanya, namun penoreh getah, Rohani Ali, 44, tetap bersyukur apabila dua anak lelakinya terselamat dalam kebakaran, Sabtu lalu.

Rohani berkata, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu,  namun dia reda dengan takdir menimpa kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.

Mengulas kejadian itu, Rohani yang sedang menoreh getah bersama suami, Hassan Abdullah, 62, di kebun milik jiran mereka kira-kira tiga kilometer dari rumahnya diberitahu anak lelakinya, Mohd Sanusi Md Sauri, 15, sebelum bergegas pulang dan mendapati sebahagian besar rumahnya hangus.

“Tidak ada apa mampu saya lakukan kerana ia berlaku sekelip mata. Saya hanya mampu melihat api memusnahkan rumah yang hampir 10 tahun didiami, malah paling tidak dapat dilupakan, ia hampir meragut nyawa anak ketujuh, Mohd Adam Hassan, 6, dan kelapan, Mohd Aiman, 4.

“Jika Mohd Sanusi tidak bertindak pantas menyelamatkan adik-adiknya, mereka mungkin rentung kerana mereka bertiga nyenyak tidur, sebelum Mohd Sanusi tersedar selepas merasakan bahang panas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di halaman bekas rumahnya di Kampung Tempoyak, di sini, semalam.

Rohani berkata, Mohd Sanusi yang mungkin terkejut segera terjun melalui jendela untuk menyelamatkan diri sebelum menyedari adik-adiknya terperangkap di dalam sebaik ditegur jiran mereka apabila dua adiknya itu tidak kelihatan.

“Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, dia masuk semula walaupun ketika itu api marak, namun demi menyelamatkan dua adiknya, Mohd Sanusi sanggup bergadai nyawa,” katanya yang turut mendedahkan banyak petunjuk dialaminya dua minggu sebelum ini, namun langsung tidak menduga ia petanda mereka kehilangan segala-galanya.

Rohani berkata, dia yang mengalami kerugian kira-kira RM50,000 tidak pasti punca kejadian tersebut.

Dalam pada itu, malang menimpa Rohani dan keluarga mendapat perhatian Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa apabila segera menghulurkan bantuan peribadinya yang disampaikan Setiausaha Umno Bahagian Ketereh, Azmi Ishak.

Azmi berkata, sumbangan berupa wang tunai RM2,000 itu bertujuan meringankan beban Rohani dan keluarga terutama dalam mendapatkan semula keperluan persekolahan empat anaknya.

“Tan Sri kini berada di London dan beliau mengetahui perkara ini pada hari kejadian sebelum meminta kami segera menyampaikan sumbangan agar dapat meringankan beban keluarga Rohani, dan insya-ALLAH selepas ini kita akan susuli dengan bantuan seterusnya,” katanya, semalam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");