Membawang Hari Ini

Jiwa besar Kolumpo

kolumpo

Imbas semula kata salah seorang pengarahnya, Bront Palarae: “Kerja pengarahan ini bukannya serius dan saya lakukan suka-suka untuk menambah ilmu.”

Namun sebaik tirai layar lebar filem sulung arahannya, Kolumpo berlabuh, ia tidak langsung mencerminkan objektif pengarahannya kerana apa diterjemahkan aktor tinggi lampai itu lebih baik berbanding ramai pengarah lain.

Kolumpo yang turut digarap dua pengarah lagi, Sheikh Munasar dan Rozi Izma adalah satu eksperimen filem pendek dan dihimpunkan pada litar filem sama dengan mengangkat tema kemasyarakatan dan komuniti.

Sinopsis Kolumpo ringkas namun ia bukanlah naskhah klise kerana jiwa dan emosi disuntik oleh tiga pengarah ini menerusi tiga cereka ini adalah sesuatu yang tidak langsung dijangka.

Antologi Kolumpo terpecah kepada tiga segmen di mana setiap satunya terjalin pada elemen tersirat dan metafora. Objektifnya satu, warna-warni kehidupan dan perjalanan di kota Kuala Lumpur yang acap kali dipanggil Kolumpo.

Bront menceritakan versi pertamanya, kisah imigran India bernama Rahul dihidupkan dengan baik oleh Azad Jazmin mampu dilihat sebuah kitab kehidupan yang begitu padat dengan konflik, kemelut dan percaturan pantas.

Kononnya Rahul terpaksa hidup sebagai pendatang haram dan kemudiannya dipertemukan dua lagi watak penting lakonan Mano Maniam dan Radhi Khalid.

Kisah keduanya lebih santai sentuhan Rozi Izma yang menyingkap perihal gadis Cina entah bagaimana terperangkap dengan seorang warga emas nyanyuk, Nek Wok yang sesat mencari rumahnya sendiri.

Berlatarbelakangkan Setapak, karakter Gienna dilakonkan Nell Ng kemudiannya perlahan-lahan menyentuh sensitiviti perbezaan kaum di mana dia melihat realiti hidup di rumah flat dan bagaimana kehidupan itu masih boleh diteruskan.

Cereka ketiga pula arahan Sheikh Munasar menjadi penutup keseluruhan karya Kolumpo yang dimensi penceritaannya lebih dekat dengan jiwa penonton hingga mampu mengundang 1,001 perasaan kepada setiap mereka yang menghayatinya.

Siti Nur Hayy adalah seorang gadis periang dan sentiasa tersenyum meskipun dilihat menjadi kupu-kupu malam di tengah kota raya Kuala Lumpur. Pelik dan misteri seperti namanya, karakter dihidupkan aktres hebat, Sharifah Amani ini kemudiannya dipertemukan dengan seorang jejaka yang berdepan konflik dalaman mengenai hukum alam terhadap lelaki dan wanita.

Percubaan berani dengan mempertaruhkan wajah baru, Amirul Ariff bagi menghidupkan watak Hafidd, emosinya berkecamuk dengan persepsi masyarakat yang semuanya bagai menjatuhkan hukum.

Lelaki mesti bermain bola, pandai bertukang dan wajib memiliki ‘awek’ sedangkan jiwanya kosong tanpa wanita. Pertemuan tidak sengaja Hafidd dengan Siti Nur Hayy membuka satu lembaran berbeza yang akhirnya meninggalkan perspektif tersendiri.

Pendek kata, Kolumpo naskhah anak muda yang komersial namun boleh dikategorikan bijak dalam menyelinap masuk ke jiwa penonton menerusi permainan gerak lakon juga pengarahannya.

Mesejnya kuat dan isu diketengahkan konkrit namun penterjemahannya bersahaja dan kerap bermain dengan simbolik kehidupan. Jika bijak mata memerhati, segala mesej itu ditangkap kemas namun kalau hanya sekadar hiburan tontonan, Kolumpo masih mampu menghiburkan.

Projektor minggu ini mendengar pandangan pelakon popular, Nadiya Nisaa yang kebetulan sempat menyaksikan Kolumpo, minggu lalu bersama keluarganya.

Sentuhan ‘indie’ komersial

“Logikal dan kebiasaannya, filem arahan penggiat seni ‘indie’ jarang sekali boleh diterima penonton biasa kerana metafora dan permainan gerak ceritanya selalunya artistik selain segala mesej sarat itu disembunyikan.

“Bagaimanapun, Kolumpo berbeza dan meninggalkan impak kepada saya dan keluarga yang menonton. Plot ceritanya ringkas dan persembahannya bersahaja membuatkan sesiapa saja mudah menerimanya dan terhibur.

“Letak ke tepi soal propaganda atau segala mesej tersirat yang dilonggokkan namun secara amnya, Kolumpo penuh nilai seni yang begitu komersial dengan sentuhan kemas tiga pengarahnya.

“Kisah sentuhan Rozi Izma membuatkan saya lebih banyak bermain penghayatan emosi kerana ceritanya agak ‘simple’ namun sarat erti kekeluargaan, kasih sayang dan kemasyarakatan negara kita.

“Walaupun berbeza agama dan latar belakang, karakter Gienna hidup untuk membuai perhatian saya hingga ke sudah dalam usahanya membantu Nek Wok yang sesat. Begitu juga dengan garapan Sheikh Munasar yang bijak membangunkan karakter hingga menjadikan watak Siti Nur Hayy adalah subjek utama bagi memaku perhatian penonton.

“Bagaimanapun, pengarahan Bront menerusi cereka pertama masih boleh diperkukuhkan lagi. Mengenali dirinya yang gemar membaca dan membuat kajian khususnya berkaitan filem, saya yakin Bront punya ruang yang luas untuk memperbaiki pengarahannya ini.

“Namun soal itu tidak mengganggu mana-mana pembangunan cerita kerana Bront masih mampu membuatkan saya terhibur dengan watak pendatang haram lakonan Ezad yang boleh saya sifatkan magis.

“Lakonan adalah jentera penting Kolumpo kerana jujurnya ketiga-tiga pengarah berjaya menghimpunkan semua pelakon yang tepat untuk menghidupkan setiap satu watak yang dibangunkan.

“Amani terutamanya bersahaja dan boleh bercerita pada dialog dan gerak tubuhnya saja selain Amirul Ariff yang langsung tidak mengecewakan. Barisan wajah pembantu juga ‘menjadi’ dengan menambah perisa selain memberi warna kepada perjalanan keseluruhannya.

“Kolumpo karya menghiburkan dan sebuah naskhah sarat mesej. Perlu diamati dan perhatikan setiap inci watak yang dihidupkan untuk menyelongkar makna di sebaliknya. Saya sangat seronok kerana menonton Kolumpo membuatkan saya berpuas hati dengan karya anak tempatan.

“Saya berikan 4 bintang untuk Kolumpo,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");